All News

Profesor Adjung SOG Kongsi Pengalaman dan Idea Pembangunan Harta Tanah

Image

UUM ONLINE: Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) telah menerima kunjungan daripada Profesor Adjung SOG, Dato’ Abdul Sahak Safi bersama isteri, Datin Wan Hanimah Wan Abdul Latif, baru-baru ini.


Kedatangan beliau berdua telah disambut Ketua Jabatan Perancangan dan Pembangunan Harta Tanah (JPPH), SOG, Sr. Dr. Farahiyah Fadzil di Anjung Tamu, seterusnya diberikan taklimat ringkas tentang UUM oleh Penolong Pegawai Tadbir di Anjung Tamu, Hayati Jamali sebelum berangkat ke Bangunan UUM COLGIS untuk sesi taaruf bersama penjawat SOG.


Dekan SOG, Prof. Madya Dr. Halimah Abdul Manaf berkata, beliau amat berbesar hati menerima kunjungan tersebut dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kesudian Dato’ Abdul Sahak untuk meluangkan masa beramah mesra, berkongsi pengalaman serta bertukar idea. Kemudian, Dato’ Abdul Sahak telah mengadakan pertemuan dengan staf akademik JPPH di Bilik Seminar, SOG.


Kepakaran industri yang dimiliki Dato’ Abdul Sahak dalam mengendalikan syarikat harta tanah yang tersohor di Malaysia sebagai Pengarah Eksekutif Gamuda Land dilihat amat bernilai dan bertepatan dengan fokus jabatan terutamanya dalam sektor pembangunan harta tanah.


Perkongsian simbiotik ini amat penting untuk membangunkan kemahiran pelajar (softskills) di dalam memenuhi keperluan industri serta membantu menambahbaik kurikulum pembelajaran dan pengajaran.
Terdapat beberapa agenda penting yang dibincangkan melalui pertemuan ini, antaranya adalah tentang beberapa program yang dirancang daripada kolaborasi industri dan SOG.


Melalui kolaborasi yang terjalin itu, ianya diharapkan dapat memberi nilai tambah, meningkatkan kecekapan, daya saing dan memacu inovasi yang akhirnya meningkatkan imej, keuntungan dan kemampanan ekosistem (pengajaran, penyelidikan dan perundingan) SOG.