All News

Bina Imej dan Sertai Aktiviti dalam Mengejar Kecermelangan Akademik

Image

UUM ONLINE: Dalam mengejar kecemerlangan akademik, pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) diingatkan supaya membina imej dan aktif dengan tidak meminggirkan program lain yang memberi nilai tambah agar tidak kekok apabila menjadi pemimpin suatu hari nanti.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, usah abaikan aktiviti yang bermanfaat seperti menjadi pengarah seminar, memegang jawatan dalam program atau jawatankuasa, menyertai program yang diadakan, membina hubungan baik dengan pelajar dan belajar dari bawah dalam menimba pengalaman.

Menurutnya, sebagai pendidik perlu belajar banyak perkara malah perlu mempunyai sikap hormat menghormati antara satu sama lain misalnya menghormati rakan pensyarah terutamanya pensyarah senior yang banyak pengalaman. 

“Ajarlah dengan hati, kita mungkin mempunyai ilmu tetapi tidak menyampaikan dengan luhur, buat kajian bersungguh-sungguh dengan niat untuk membangunkan masyarakat misalnya memberi satu dasar atau kertas cadangan kepada kerajaan akhirnya dapat bantu menyelesaikan masalah masyarakat.

"Atas kesungguhan bersama, kita terus mengorak langkah ke hadapan, walaupun kita bukan Universiti Penyelidikan (RU) tetapi kita berani bersiap sedia untuk bersaing dengan universiti lain sehingga muncul sebagai Top 100 universiti terbaik di Asia dan 401 – 450 bagi subjek Sains Sosial dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings by Subject 2022," katanya pada lawatan Penyerahan Sijil Rankings kepada Dekan Pusat Pengajian Kerajaan (SoG), Prof. Madya Dr. Halimah Abdul Manaf di Bilik Mesyuarat SoG, semalam.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada staf pentadbiran bukan sahaja staf akademik, kerana kejayaan yang digapai itu adalah kejayaan semua yang bersatu padu menggembleng tenaga.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Halimah menyifatkan program ini amat baik dan memberi mesej yang jelas bahawa universiti sentiasa peka dan dekat dengan SoG dan berharap diteruskan  terutamanya berkaitan ranking dan ‘visibility’ program di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, di SOG terdapat pelajar antarabangsa yang ramai sekali gus menunjukkan universiti ini boleh pergi jauh dan melakukan pelbagai program memandangkan pasaran dan permintaaan daripada pelajar dan pelanggan.

"Terima kasih di atas inisiatif universiti untuk menyampaikan sijil penghargaan ini dan saya berharap ianya akan terus mempelbagaikan kaedah dalam hubungan yang baik ini dalam pelabagai platform. 

“Saya melihat ini adalah usaha keras yang dibuat oleh rakan akademik dan pentadbiran dengan menggalakkan lebih banyak program pasca siswazah dan mempromosikan program di luar negara di samping membawa kepada program kolaborasi yang lain,” katanya.