All News

BIJAK TANGANI ANCAMAN SIBER

Image

UUM ONLINE: Kebocoran maklumat, penggodaman, penipuan siber, pencerobohan data, pemindahan wang secara haram, pemalsuan kad kredit dan kad akaun bank, antara trend jenayah siber di Malaysia yang semakin berleluasa.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan), Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa berkata, semasa PKP ramai yang melayari internet untuk membeli barang secara online dan berinteraksi tetapi kurang pengetahuan apabila bertindak memasukkan data peribadi dan mendedahkan maklumat tertentu.

“Jika jenayah fizikal kita boleh nampak dan tahu siapa pelakunya tetapi jenayah siber amat sukar dikesan kerana dilakukan di lokasi yang tidak spesifik, tiada perjumpaan secara bersemuka dan tidak tahu siapa yang berurusan dengan kita, sedar-sedar duit sudah melayang,” ujarnya.

Jelasnya, statistik jenayah siber menunjukkan peningkatan dari tahun 2018 - 2021 iaitu 10,758 pada 2018, 11,875 (2019), 14,215 (2020) dan 18,310 pada 2021.

Menurutnya, peningkatan ketara bagi Penipuan e-Dagang pada tahun 2021 berbanding tahun 2018 iaitu sebanyak 65.4 peratus.

“Mengikut kajian yang dijalankan jenayah ini tidak memilih jantina dan kebanyakan golongan yang mudah ditipu adalah dalam lingkungan umur 21 - 40 tahun.

“Ramai yang menerima panggilan telefon dari agensi penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Imigresen yang mengatakan anda telah melakukan kesalahan, walaupun tidak melakukan kesalahan namun cepat benar kita terasa panik, takut, menggigil dan hanya mengikut telunjuk si pemanggil sehingga mengakibatkan kerugian ribuan ringgit.

 

“Sepatutnya jika menerima panggilan sebegini, jangan layan, bertenang dan berfikir secara waras, justeru perangi jenayah siber yang boleh mengancam ketenteraman awam,” ucapnya pada Majlis Syarahan Felo Adjung SOG bertajuk “Jenayah Siber Di Malaysia: Impak Dan Inisiatif Dari Perspektif KDN” di Dewan Seri Sri Angsana, EDC-UUM, semalam.

Begitu juga dengan ‘love scam’ katanya, yang menyebabkan ramai kecundang pada lelaki asing yang pandai menggunakan kemahiran untuk menipu bagi mendapatkan duit dengan mudah.

“Modus operandi mereka menyasarkan wanita 30 – 45 tahun dari kalangan profesional dan bujang, kaya, tidak ramai kawan, sunyi yang menjadi faktor wanita terjebak dengan ‘love scam’.

“Setiap malam si hidung belang ini akan memikat lima wanita sekali gus dengan kata-kata manis, memujuk rayu memberi semangat dan nasihat yang membuatkan hati wanita cair sehingga sanggup menyerahkan wang ribuan ringgit akhirnya duit habis dan ditinggalkan begitu sahaja,” kongsinya.

Selain itu katanya, antara cabaran KDN dalam menangani ancaman jenayah siber adalah kerana ianya dilakukan di lokasi yang tidak spesifik, tiada perjumpaan secara bersemuka dan tiada saksi yang melihat selain kepakaran forensik yang terbatas.

Dari aspek teknologi pula, teknologi siber berevolusi pantas, ‘Anonymous IP Address, EncryptionFake ID, Fake Phone, Masking’ dan keterangan dalam talian mudah dilupuskan.

“Apa jua cabaran dan halangan, KDN tidak pernah berputus asa, walaupun tidak boleh menghapuskan sepenuhnya jenayah siber sekurang-kurangnya dapat memberi kesedaran pada orang awam dengan laporan polis yang dibuat oleh mangsa. 

“KDN akan terus menangani jenayah siber menerusi penguatkuasaan, kempen dan kerjasama,” tambahnya.

Antara undang-undang yang diguna pakai bagi menangani jenayah siber di Malaysia seperti Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Tandatangan Digital 1997, Akta Hakcipta 1987, Akta Cakera Optik 2000, Akta Perdagangan Elektronik 2006, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan Kanun Keseksaan.

Majlis syarahan ini turut dihadiri Dekan Pusat Pengajian Kerajaan, Prof. Madya Dr. Halimah Abdul Manaf, pegawai kanan Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM), pegawai Jabatan Imigresen Malaysia dan pelajar Pusat Pengajian Kerajaan.​