All News

PELAKSANAAN AKTIVITI SERVICE LEARNING (SULAM) BAGI SUBJEK GMJT 3113

Image

Oleh Dr. Wahida Ayob: SULAM merupakan satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menggabungkan objektif pembelajaran kursus dengan khidmat komuniti yang melibatkan pelajar berinteraksi dengan komuniti bagi menyelesaikan permasalahan setempat dengan menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang mereka pelajari di bilik kuliah. Melalui aktiviti Sulam melibatkan pertukaran pendapat dan pengalaman mengenai service learning yang akan memberikan manfaat kepada pelajar-pelajar kedua-dua belah pihak. Sulam akan menjadi pemangkin kepada usaha menjadikan pelajar-pelajar IPT untuk lebih prihatin terhadap isu masyarakat. Justeru, pelaksanaan Sulam ini juga menjadi satu platform terbaik untuk para pelajar IPT bertindak sebagai agen perubahan dan perantara masyarakat dengan pihak kerajaan khususnya dalam menggerakkan aktiviti berbentuk kemasyarakatan. Malah Sulam juga akan dapat melahirkan pelajar-pelajar yang berkaliber tinggi yang dapat menyumbang kepakaran kepada komuniti.  Ia mempunyai nilai kredit dan jam pelaksanaan khidmat komuniti itu dikira dalam pengiraan jumlah jam pelajar belajar bagi kursus yang berkaitan. Seiring dengan itu, aktiviti Sulam telah dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara, Changlon pada 19 Mei 2022. Seramai 12 orang wakil pelajar (daripada keseluruhan 72 orang) subjek GMJT 3113 Environmental Management telah hadir secara bersemuka bagi menjayakan aktiviti tersebut. Aktiviti tersebut telah disiarkan secara langsung melalui SOG FB Live.

Slot 1 yang memenuhi pengisian Sulam adalah penglibatan dengan murid-murid sekolah melalui pengedaran soalan kuiz alam sekitar yang dijawab dalam kumpulan.

Slot 2 adalah ceramah berkaitan pengasingan sisa pepejal yang telah disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan SW Corp Negeri Kedah, Puan Azhana Che Ghazali. Penglibatan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kerjasama Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) merupakan satu usaha yang terbaik kepada kedua-dua pihak. Ini memandangkan penglibatan PBT seperti SWCorp yang sentiasa mengamalkan elemen tadbir urus yang baik seperti penglibatan awam, akauntabiliti, ketelusan dan responsif. Langkah ini telah memberi pendedahan kepada masyarakat tentang fungsi dan peranan yang telah dijalankan oleh SWCorp. Perkongsian ilmu kepada para guru, murid-murid sekolah dan wakil pelajar Sulam berkaitan tajuk ‘Kepentingan Pengasingan Sisa Pepejal Ke Arah Negara Bersih, Sihat dan Sejahtera’.

Slot 3 adalah sesi dialog di antara wakil-wakil PBT (4 orang) dengan alumni UUM (guru-guru SKDWK seramai 17 orang yang telah bergraduan di UUM). Antara yang diutarakan berkaitan tentang penglibatan SKDWK di dalam aktiviti yang dianjurkan oleh SWCorp. Ini kerana, SKDWK berpotensi besar untuk lebih berkembang maju disebabkan oleh pelaksanaan STEM (Sains, Teknologi, Persekitaran dan Matematik) dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Pendidikan STEM ini dilihat bakal melahirkan generasi muda yang memiliki intelektual yang tinggi dalam bidang sains dan teknologi.

Pihak sekolah telah di galakkan untuk mendaftar dalam sistem Persis iaitu pertandingan kitar semula sekolah-sekolah di peringkat negeri dan kebangsaan. Penjualan barangan yang boleh dikitar semula, resit dan gambar perlu dimasukkan ke dalam sistem Persis. Tambahan pula SKDWK menghala ke arah Go-Green dan amalan 3R (Reduce, Reuse dan Recycle). Ini merupakan landasan terbaik bagi pihak sekolah untuk menyertai pertandingan kitar semula. Oleh itu pelaksanaan service learning ini merupakan sebahagian daripada proses pendidikan di mana para pelajar dapat mengikuti pembelajaran subjek kuliah dan pada masa yang sama dapat menerapkan bidang pembelajaran tersebut agar berguna bagi masyarakat sekitar.