All News

SOG DEKATI PEMIMPIN PELAJAR (MEET & GREET)

Image

UUM ONLINE: Pemimpin mahasiswa perlulah memiliki keterampilan diri, sahsiah dan karakter kepimpinan yang baik dalam memastikan pelapis generasi masa depan yang berkredibiliti.

“Sebagai pemimpin mahasiswa anda merupakan duta Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) justeru carilah pengalaman berharga dengan menggunakan segenap ruang dan peluang kehidupan di kampus untuk meneroka bakat serta kemahiran diri yang terpendam di samping menunaikan tanggungjawab hakiki untuk menimba ilmu akademik.”

Itu antara pesanan yang dititipkan Dekan SOG, Prof. Madya Dr. Halimah Abdul Manaf pada program ramah mesra ‘Meet and Greet’ yang berlangsung di Restoren Tasik, UUM, baru-baru ini.

Ujarnya, program ini menjadi platform terbaik untuk mengeratkan jalinan silaturahim antara barisan kepemimpinan mahasiswa yang terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Majlis Tertinggi Jawatankuasa Persatuan Pengurusan Pembangunan (BDM) dan Persatuan Pengurusan Awam (BPM) bersama staf. 

Jelasnya, ramah mesra antara pemimpin pelajar dan penjawat ini telah mencapai satu titik persamaan di antara kedua-dua pihak dalam menjayakan hasrat universiti untuk melahirkan graduan yang holistik.

“Setiap program yang dirangka haruslah menitikberatkan penerapan kekuatan jati diri, pengukuhan kemahiran insaniah serta pembangunan akademik mahasiswa jadi besarlah harapan saya agar wujudnya jalinan kerjasama yang baik di antara barisan kepimpinan mahasiswa dan penjawat dalam memacu kejayaan,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) SOG, Sr. Dr. Farahiyah Fadzil berkata, matlamat utama penganjuran program ini adalah untuk merapatkan ukhuwah di antara pemimpin mahasiswa dan barisan penjawat SOG untuk berkongsi pandangan, cadangan, luahan serta mengemukakan sebarang aduan secara langsung kepada pengurusan tertinggi.

Selain itu, program ini diharapkan dapat mendedahkan cara menyalurkan aduan yang betul apabila berdepan dengan sebarang situasi. 

Manakala pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam, Muhammad Idzham Syah Othman menyifatkan program yang dilaksanakan amat bagus bagi pemimpin pelajar di SOG untuk menyuarakan isu dan cadangan.

“Menerusi perjumpaan ini pelajar dapat pelbagai input, info berkaitan perancangan SOG dan persoalan dapat dijawab dengan baik malah pelajar berasa lebih selesa untuk mengutarakan permasalahan tanpa rasa segan silu.

“Duta SOG memainkan peranan dalam mempromosikan program yang dianjurkan selain meningkatkan lagi keterlihatan pusat pengajian dan kami bertanggungjawab menyampaikan isu yang dihadapi pelajar kepada pihak pengurusan SOG sekali gus menjadi penghubung antara kedua-dua pihak,” katanya yang juga ahli Majlis Perwakilan Pelajar yang mewakili SOG.