All News

CERAMAH RAMADHAN MENDIDIK ROHANI DAN JASMANI

Image

SoG ONLINE : Ramadan adalah satu tempoh masa sangat istimewa bagi seluruh umat Islam. Bulan ini adalah bulan yang dipenuhi dengan rahmat dan keberkatan. Rasulullah SAW menyatakan ‘apabila datangnya Ramadan, nescaya dibuka pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.’ (HR al-Bukhari dan Muslim).

Sempena menyambut kedatangan Bulan Ramadhan 1443H/2022M, Jawatankuasa Kebajikan, Keceriaan, Sukan dan Rekreasi telah menganjurkan Ceramah Ahlan Ya Ramadhan baru-baru ini.

Program ini berlangsung secara atas talian (online) dan telah disampaikan oleh Ustaz Lutfi Amir Saidin, Ketua Bahagian Agama dan Kaunseling, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) Alor Setar.

Dalam ceramah itu, beliau telah menyampaikan ceramah yang bertajuk “Mendidik Rohani dan Jasmani di Bulan Ramadhan” sebagai persediaan staf dan pelajar menjalani ibadah puasa memandangkan Bulan Ramadhan yang bakal disambut oleh seluruh umat islam tidak lama lagi.

Beliau dalam ceramahnya antara lain menyentuh, bagaimana umat Islam meraih pahala dalam bulan Ramadan dan memperolehi kesempurnaan puasa serta balasan kepada orang yang tidak menghormati bulan Ramadan.

Menurutnya lagi, ada tiga (3) golongan yang akan di angkat pada Bulan Ramadhan untuk masuk syurga iaitu, orang yang benar-benar bersabar menunggu Ramadan kerana ia tahu kelebihan dalam bulan itu, orang yang benar dalam percakapan dan  orang yang taat perintah Allah kerana ada bulan selepasnya iaitu bulan Syawal dan orang yang menunggu Ramadan seperti bulan-bulan lain.

Sementara itu, pengendali program, Encik Mokhtafizam Mokhtar menyeru staf dan pelajar supaya memanfaatkan Bulan Ramadan sebagai bulan yang sangat sesuai untuk mendidik dan mengamalkan kesemua nilai dan amalan kebaikan.

Sebagaimana Sabda Baginda SAW yang maksudnya: “Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW memberikan khabar gembira kepada para sahabatnya: Telah datang kepada kalian bulan Ramadan, bulan yang penuh berkat, bulan yang mana Allah mewajibkan berpuasa. Pada bulan ini pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu Jahanam ditutup, syaitan-syaitan dibelenggu.

Pada bulan ini terdapat sebuah malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barang siapa terhalang daripada mendapat kebaikan pada bulan ini, maka sesungguhnya dia telah terhalang dari kebaikannya.”

Program ini pembuka kepada aktiviti ilmiah dan agama di bulan Ramadhan anjuran jawatankuasa tersebut seperti program penghayatan dan Tadarus Al-Quran, Majlis Khatam Al-Quran, program kembara amal Ramadhan dan lain-lain.

 

29 Mac 2022

 Oleh : Salina Abdullah | Gambar : Noor Faizzah Dollah