SoG ONLINE: Majlis Semarak Kasih Aidilfitri Bersama Warga SoG yang berlangsung semalam menutup tirai bulan Syawal dengan kehadiran Dekan Pusat Pengajian Kerajaan, Prof. Madya Dr. Halimah Abd Manaf.
Majlis tersebut julung kali diadakan setelah negara memasuki fasa peralihan ke endemic.
Pada majlis itu, Halimah memotong pulut kuning sebagai simbolik majlis dan tanda ‘pemula’ ikatan kasih sayang sesama pelajar dan staf yang hadir.
“Majlis seumpama ini sudah dua tahun tidak dapat diadakan kerana pandemik Covid-19 dan dalam tempoh itu pelajar hanya berjumpa di alam maya. Sudah pasti mereka sangat teruja untuk bertemu rakan-rakan dan pensyarah.
“Alhamdulillah, Syawal kali ini kita berkesempatan beramah mesra antara satu sama lain dengan lebih dekat dalam suasana raya, sekali gus mengeratkan silaturahim yang terjalin di samping menikmati pelbagai hidangan yang lazat,” katanya pada majlis itu.
Tidak ketinggalan turut menyerikan majlis tersebut ialah Penolong Naib Canselor, Prof. Dr. Nuarrual Hilal bin Md. Dahlan, Prof. Madya Dr. Nazariah Binti Osman Dekan Pusat pengajian Antarabangsa, dan Pengarah UUM Press, Prof. Madya Dr. Hamidi bin Ismail.
Oleh : Salina Abdullah | Gambar Oleh : Noor Faizzah / Ehsan SoG