UUM ONLINE: Kemeriahan Ramadan Pusat Pengajian Kerajaan (SoG) kali ini diserikan lagi dengan kehadiran anak-anak istimewa terdiri golongan orang kurang upaya (OKU) dan anak yatim yang diraikan di EDC-UUM, baru-baru ini.
Dekan SoG, Prof. Madya Dr. Halimah Abdul Manaf berkata, program tanggungajwab sosial korporat (CSR) itu merupakan salah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Kebajikan, Keceriaan, Sukan dan Rekreasi (JKKSR) bagi meningkatkan produktiviti KPI pusat pengajian kerana dapat berkongsi rezeki dengan masyarakat sekeliling.
“Saya berharap staf di SOG dapat bersama jawatankuasa untuk membantu anak-anak ini agar mereka dapat dihargai dan disayangi selalu,” katanya pada Majlis Pembentangan KPI Pelan Strategik JKKSR Pusat Pengajian Kerajaan dan Pelancaran Program CSR: ‘We Care, We Share’.
Menurutnya, melalui slogan ‘We Care, We Share’ itu akan menyatukan hati-hati yang ada ini untuk berkongsi kegembiran serta dapat merapatkan hubungan dengan masyarakat luar kerana rezeki milik Allah untuk dikongsi dengan sesiapa sahaja.
Katanya, sambil bersedekah, SoG juga dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain dan ini adalah antara usaha untuk bersama masyarakat.
Sementara itu, Pengerusi JKKSR, Zuriana Zahrin berkata, kesudian pihak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Darulaman Height 1 dan keluarga Siti Zalifah Abul Mutalib memenuhi undangan untuk berbuka puasa sangat dihargai dan satu peluang yang berharga dan manis buat jawatankuasa.
Menurutnya, dia berharap amalan menyantuni anak-anak OKU dan anak-anak yatim itu akan diteruskan lagi pada masa hadapan agar dapat mengeratkan lagi hubungan di antara sekolah, pelajar dan staf serta masyarakat luar.
Dalam majlis tersebut, pensyarah kanan, Prof. Madya Dr. Halimah Abdul Manaf telah menghulurkan sumbangan berjumlah RM500 kepada SMK Darulaman Height 1 bagi Perbelanjaan Pembelajaran Anak-Anak Yang Berkeperluan Khas serta menghulurkan Bakul Kasih Ramadan kepada Siti Zalifah iaitu balu Dr. Achmad Dzariean Mohd Nadzri yang meninggal dunia pada tahun lalu.
Selain itu, seramai enam anak OKU dan lima anak yatim terpilih turut menerima sumbangan duit raya dari JKKSR sebelum berbuka puasa.
Oleh: Salina Abdullah