SOG ONLINE: Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) telah menganjurkan Bengkel Penyediaan Resume Menggunakan Aplikasi Canva pada 25 Jun 2022 bertempat di EDC Hotel, Universiti Utara Malaysia. Bengkel ini telah disertai oleh 60 orang pelajar tahun akhir SOG yang terdiri daripada pelajar-pelajar program Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan dan Sarjana Muda Pengurusan Awam.
Program ini bertujuan untuk mempersiapkan mahasiswa menghadapi persaingan dunia kerjaya melalui penghasilan Curriculum Vitae (CV) atau resume yang menarik dan terkini serta dapat memenuhi keperluan industri. Bahkan, penganjuran program penasihatan kerjaya ini juga merupakan salah satu inisiatif SOG ke arah meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Para peserta amat bertuah kerana bengkel ini turut dihadiri oleh pihak industri untuk berkongsi “Do’s and Don’ts in CV Writing Tips” dari kacamata seorang majikan. En. Rosley Che Ros, Ketua Pegawai Eksekutif GroBio Industry Sdn. Bhd. yang juga merupakan salah seorang alumni SOG telah sudi menerima jemputan daripada pihak SOG dan meluangkan sedikit masa beliau untuk turut bersama-sama di dalam program ini. Banyak tips yang dikongsikan terutamanya tentang apakah kekuatan sesebuah CV yang berjaya menepati kriteria calon pekerja yang dicari dan memenuhi keperluan industri.
Seterusnya, bengkel ini telah dikendalikan oleh seorang pakar Canva yang dijemput khas untuk berkongsi ilmu dan pengalaman beliau menggunakan aplikasi Canva bagi menghasilkan resume dalam bentuk infografik dan video animasi. Sesi dimulakan dengan perkongsian tips penyediaan resume oleh penceramah dan diikuti dengan sesi hands-on di mana semua peserta dikehendaki menghasilkan resume sambil dipantau oleh penceramah dan dibimbing oleh 10 orang alumni SOG yang dilantik sebagai fasilitator. Penglibatan alumni ini juga bukan sahaja dapat merapatkan ukhuwah di antara alumni dan pelajar-pelajar, bahkan sumbangan khidmat bakti mereka melalui kepakaran, perkongsian pengalaman serta perpindahan ilmu ini dapat menjadi inspirasi kepada generasi akan datang untuk turut sama terlibat dengan aktiviti-aktiviti alumni anjuran Pusat Pengajian Kerajaan.
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) SOG, Sr. Dr. Farahiyah Fadzil berharap agar program yang melibatkan kerjasama alumni dan pihak industri (wakil majikan) ini mampu memberi impak kepada pelajar di dalam usaha mempersiapkan diri mahasiswa mendepani cabaran dunia kerjaya. Program ini bukan sekadar berupaya memberi pendedahan awal kepada mahasiswa tentang teknik penyediaan resume terbaik tetapi ia juga secara tidak langsung telah berjaya meningkatkan kemahiran digital para pelajar melalui penguasaan asas aplikasi Canva. Beliau juga turut berterima kasih kepada kedua-dua Penasihat Persatuan Pelajar iaitu Dr. Rosfaraliza Azura Ramli dan Dr Nur’Jila Muhammad di atas komitmen terbaik yang diberikan sepanjang penganjuran program ini berlangsung.