All News

374 PELAJAR CEMERLANG SOG DIRAIKAN DALAM MAJLIS ANUGERAH DEKAN SEMESTER A211

Image

SOG ONLINE: Majlis Anugerah Dekan Pusat Pengajian Kerajaan Semester A211 telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang pada 03 Julai 2022 bertempat di Pusat Konvensyen, Universiti Utara Malaysia. Majlis ini julung kalinya diadakan secara bersemuka setelah hampir empat semester Majlis Anugerah Dekan terpaksa diadakan secara atas talian ekoran Perintah Kawalan Pergerakan semasa Pandemic Covid-19 melanda seluruh dunia.

Penganjuran majlis ini adalah merupakan hasil jalinan kerjasama di antara Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) SOG, Persatuan Pengurusan Pembangunan, Persatuan Pengurusan Awam dan Pusat Pengajian Kerajaan. Program ini merupakan platform terbaik untuk meraikan kejayaan pelajar dengan pencapaian akademik yang cemerlang dalam keputusan peperiksaan Semester A211. Disamping itu, penganjuran program ini juga diharapkan dapat menyuntik motivasi pelajar-pelajar untuk terus mengekalkan kecemerlangan akademik dan memastikan agar mereka berada di dalam kelompok kelas pertama semasa graduasi kelak.

Perasmian Majlis Anugerah Dekan SOG Semester A211 ini telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Dekan Pusat Pengajian Kerajaan, Prof. Madya Dr. Halimah Abdul Manaf. Beliau telah menitipkan kata-kata nasihat kepada para penerima anugerah agar menekankan penguasaan Bahasa Inggeris dalam diri setiap mahasiswa. Hal ini akan menjadi nilai tambah kepada mahasiswa agar mereka mampu untuk berdaya saing dengan graduan daripada universiti lain semasa memohon pekerjaan kelak. Bahkan, keyakinan diri seseorang mahasiswa akan meningkat sekiranya mereka mampu berkomunikasi di dalam Bahasa Inggeris dengan baik. Selain itu, Dekan SOG turut mengingatkan graduan bahawa adab dan ilmu perlulah bergerak seiring. Justeru, mahasiswa haruslah memiliki sahsiah yang terpuji kerana keputusan akademik yang cemerlang sahaja adalah tidak mencukupi untuk melayakkan mereka menjadi pilihan majikan.

Kemeriahan Majlis Anugerah Dekan SOG Semester A211 ini diserikan lagi dengan persembahan nyanyian oleh Alumni SOG, En. M Shahadat Ali Nordin yang kini turut bertugas sebagai staff di Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM. Keterlibatan beberapa orang alumni yang kini telah bergelar pensyarah di beberapa universiti awam di seluruh Malaysia di dalam menyampaikan ucapan aluan di permulaan majlis, ternyata dapat menyuntik semangat dan meniupkan inspirasi dalam diri setiap pelajar yang hadir dalam majlis berkenaan.

Turut hadir pada majlis ini adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Sr. Dr. Farahiyah Fadzil. Menurut beliau, penganjuran Majlis Anugerah Dekan SOG pada kali ini telah berjaya mengasah bakat kepimpinan dalam diri mahasiswa yang menjadi jentera penggerak program. Hasil gabungan kerjasama yang mantap di antara Pusat Pengajian Kerajaan dan barisan kepimpinan pelajar SOG secara tidak langsung telah mempersiapkan mahasiswa untuk mendepani cabaran dunia kerjaya. Hal ini adalah kerana, mereka dilatih untuk bekerja dalam satu pasukan, belajar untuk membuat keputusan, mengasah kemahiran menyelesaikan masalah serta diberi kebebasan untuk menzahirkan kreativiti di dalam pengendalian majlis.

Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu “Standing In The Eyes Of The World” oleh semua pensyarah dan pelajar yang hadir dengan laungan penuh bertenaga di dalam membangkitkan lagi semangat serta memahat sebuah memori indah bersama. Diharapkan agar penganjuran program ini akan menjadi pemangkin semangat bukan sahaja kepada para penerima anugerah, tetapi juga kepada pelajar-pelajar lain untuk terus berusaha meningkatkan prestasi akademik pada semester-semester yang akan datang.