All News

MAJLIS PERASMIAN PROGRAM UUM - PIBKS MEMBINA KESEJAHTERAAN RAKYAT (MEKAR) 2022

Image

UUM ONLINE: Lebih 4,500 pelajar tingkatan empat hingga enam dari 16 buah sekolah luar bandar akan menyertai program anjuran bersama Universiti Utara Malaysia (UUM), Pelibatan Ibu Bapa dan pihak Swasta (PIBKS) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah.

Program UUM-PIBKS Membina Kesejahteraan Rakyat (MEKAR) yang dipilih oleh JPN ini dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Mahdzir Khalid di Dewan Mu’adzam Shah, UUM, pagi tadi.

Mahdzir dalam ucapannya berkata, pelajar dari sekolah yang terpilih ini akan menyertai program yang berkaitan akademik, jati diri, kokurikulum dan sebagainya.

“Kita yakin melalui MEKAR ini pelajar sekolah yang terlibat bukan sahaja mendapat bimbingan dari pensyarah dan mahasiswa di kampus ini malah  mereka juga dapat merasai suasana tinggal di kampus nanti,” ujar beliau lagi.

Beliau juga berharap agar komitmen dan usaha sebegini dapat meningkatkan mutu pendidikan pelajar luar bandar di negeri ini.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, fokus utama program ini adalah semasa cuti semester yang melibatkan pensyarah dan pelajarnya.

“Program ini akan dijalankan sepanjang tahun sama ada di sekolah atau membawa pelajar-pelajar ini masuk dan merasai kehidupan sebagai mahasiswa,” ujar beliau.

Di samping itu, pensyarah-pensyarah dan pelajar juga akan turun membantu penduduk daripada 34 kampung di negeri ini dengan kerjasama beberapa rakan strategik yang lain bagi memahami masalah penduduk sama ada ekonomi, sosial dan sebagainya.

“Program serampang dua mata pendidikan dan ekonomi ini dibuat sekali gus mendekatkan lagi masyarakat dengan universiti ini,” katanya.

Sempena perasmian majlis ini, Mahdzir turut menyampaikan watikah pelantikan kepada pusat-pusat pengajian dan inapan siswa UUM yang telah ditetapkan untuk setiap daerah yang dipilih oleh JPN bagi memacu kemajuan pendidikan di negeri ini.