All News

IPSOM-UUM 2022 BINCANG ISU KESELAMATAN DAN KETENTERAMAN AWAM

Image

UUM ONLINE: Persidangan Antarabangsa IPSOM–UUM 2022 yang dianjurkan secara bersama oleh Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM), Kementerian Dalam Negeri  menjadi wadah dan platform penting bagi pengutaraan serta perdebatan berhubung isu-isu keselamatan dan ketenteraman awam di Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dalam ucapanya berkata, pengurusan sempadan negara sememangnya sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran yang semakin kompleks terutama selepas pembukaan pintu sempadan negara.

Isu-isu mengenai tadbir urus, pengurusan dan penguatkuasaan di sempadan serta perlakuan jenayah yang melibatkan warga asing di negara ini merupakan topik hangat yang acap kali dilaporkan di media-media massa.

“Moga hasil dari persidangan yang bertemakan ‘Kemampuan Tadbir Urus Sempadan: Isu, Impak dan Inisiatif yang dianjurkan ini bakal menerbitkan kesedaran dan kefahaman baharu tentang pengurusan keselamatan sempadan di Malaysia yang disertai oleh pakar-pakar akademik dan agensi keselamatan yang menyertainya,”ujar beliau ketika merasmikan persidangan selama dua hari di Maktab Polis Diraja Malaysia, Kuala Lumpur semalam.

Terdahulu Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah dalam ucapan aluannya berharap persidangan yang dianjurkan SOG dan IPSOM selaku penganjur bersama akan menyediakan platform untuk ahli akademik berinteraksi dengan pembuat polisi dan pihak industri yang berlatar belakang dari pelbagai bidang.

“Saya yakin melalui persidangan ini peserta dapat bertukar pandangan dan pengetahuan mengenai isu-isu semasa yang berkaitan dengan pentadbiran kerajaan dan awam serta hubungan dua hala yang cekap antara kerajaan dan masyarakat,”ujarnya lagi.

Haim Hilman menambah bagi menyahut agenda kedaulatan dan keselamatan negara, UUM bersedia untuk memainkan peranan dan bekerjasama dengan semua pihak yang terlibat sama ada di peringkat negara mahupun  komuniti dan merangka program penyelidikan dan perundingan secara lebih aktif dalam bidang berkenaan.

Tambahan pula kedudukan UUM yang berhampiran dengan sempadan Malaysia dan Thailand turut memberi nilai tambah dan menyokong kepada usaha ini. 

Sementara itu Ketua Eksekutif IPSOM, Lokman Effendi Ramli yang ditemui berkata, persidangan julung kali yang diadakan ini adalah untuk menyebarluaskan pengetahuan mengenai keselamatan dan ketenteraman awam kepada masyarakat.

“Kita menyedari dan memahami pembukaan pintu sempadan era pasca pandemik Covid-19 telah merancakkan kembali ekonomi negara, namun pada masa yang sama kita melihat ianya mengamit pelbagai isu dan cabaran pengurusan keselamatan sempadan negara,” katanya lagi.

Oleh itu, persidangan yang diadakan ini tepat pada masanya dan berharap melalui forum-forum dan rumusan yang akan diperoleh nanti akan mencapai objektif penganjuran persidangan ini sekali gus memelihara, mengekal dan memperkukuhkan nilai-nilai teras negara bagi menjamin kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka, aman dan berdaulat.