All News

LET’S TALK MINDA SIHAT FOKUS KESIHATAN MENTAL STAF

Image

SOG ONLINE – Selaras dengan Pelan Publisiti Kesihatan Mental di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) serta kempen Kementerian Kesihatan Malaysia dalam kalangan orang dewasa bekerja, Jawatankuasa Kebajikan, Keceriaan, Sukan dan Rekreasi (JKKSR) Pusat Pengajian Kerajaan (SoG) telah menganjurkan Program Let’s Talk Minda Sihat di EDC Hotel UUM baru-baru ini. Program yang telah disertai oleh 50 staf ini diatur sebagai satu usaha membentuk pengetahuan staf tentang pentingnya menjaga kesihatan mental.

Menurut Pengerusi JKKSR SOG, Zuriana Zahrin berkata, kesihatan mental merangkumi kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial. Ia mempengaruhi bagaimana kita berfikir, merasa dan bertindak dengan persekitaran dan orang disekeliling.

“Masalah kesihatan mental bukan sahaja memudaratkan kesejahteraan emosi individu, ia juga menyebabkan kesukaran untuk menampung tekanan biasa, mengubah tingkahlaku serta menjejaskan produktiviti kerja. Justeru, JKKSR perlu mengatur program yang memainkan  peranan yang lebih aktif dalam menangani masalah kesihatan mental di tempat kerja”, ujarnya.

Justeru, Pakar Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Sultanah Bahiyah, Dr. Ahmad Rostam Md Zain dijemput bagi membentuk kesedaran staf tentang pentingnya menjaga kesihatan mental. Di awal sesi, penilaian kendiri dibuat bagi mengenal pasti tahap tekanan kumpulan sasaran.

Dr. Ahmad Rostam berkata, kelaziman masalah kesihatan mental terus mencatatkan peningkatan sehingga ia boleh menjejaskan setiap aspek kehidupan individu terutamanya di tempat kerja.

Tinjauan Tempat Kerja Paling Sihat di Malaysia oleh AIA Vitality pada 2019 pula, katanya mendapati bahawa semakin ramai tenaga kerja di Malaysia tidak mendapat tidur secukupnya dan kerja secara berlebihan.

“51 peratus daripada mereka mengalami sekurang-kurangnya satu dimensi tekanan atau stres berkaitan kerja dan 53 peratus mendapat tidur kurang daripada tujuh jam sehari”, katanya sempena Kempen Let’s TALK Minda Sihat Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia di sini pada Ahad.

Pada sebelah petang, seramai 5 orang staf akademik dan 3 staf pentadbiran telah diraikan  dalam “Majlis Sekalung Budi, Sejambak Kasih”.

Sementara itu, Dekan, Halimah Abdul Manaf berkata, kehilangan permata memberi impak yang mendalam kepada produktiviti jabatan. Mereka merupakan role model yang sangat berharga buat jabatan khasnya dan universiti amnya.

“Banyak jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan oleh mereka kepada SoG dan kita saling memerlukan antara satu sama lain meskipun telah bersara dan bertukar jabatan namun ikatan silaturrahim yang terjalin tidak akan putus”, katanya.

Pada sesi tersebut jugak, 8 orang staf di arak meriah dengan alunan paluan kompang dari lobi EDC Hotel ke Dewan Sri Angsana. Majlis juga diserikan dengan persembahan deklamasi sajak oleh Dr. Farahiyah Fadzil, Gimik Persembahan “Best Dress” dan sesi potong pulut kuning oleh para tetamu.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbaalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Ahmad Martadha serta para penjawat utama serta staf akademik dan pentadbiran SoG.

 

Oleh : Zuriana Zahrin & Salina Abdullah

Gambar Oleh : Pusat Pengajian Kerajaan (SoG)