SOG ONLINE : Pusat Pengajian Kerajaan (SoG) julung kali meraikan seramai 20 graduan program-program Pascasiswazah SoG seperti Sarjana Pengurusan Awam (MPM) PhD Pengurusan Awam dan PhD Pengurusan Pembangunan pada Majlis Konvokesyen UUM ke-34, di Bilik Seminar SoG, baru-baru ini.
Lebih istimewa, Dekan SoG, Prof. Madya Dr. Halimah Abd Manaf sudi meluangkan masa beramah mesra dan menyampaikan cenderahati kepada graduan sebagai tanda kenang-kenangan kepada graduan yang hadir pada majlis Hi Tea tersebut.
Program ini bertujuan meningkatkan keterlibatan alumni di dalam penganjuran program-program yang akan datang anjuran SoG sama ada melalui perpindahan ilmu, kepakaran dan pengalaman mahupun sumbangan berbentuk kewangan.
Halimah Abdul Manaf berkata, program di bawah seliaan Pusat Pengajian Kerajaan (SoG) telah menjadi pilihan dan melahirkan graduan dalam bidang pengurusan awam, pengurusan pembangunan dan sebagainya.
“Program yang ditawarkan oleh SoG bukan sahaja menyediakan untuk pengembangan ilmu mahasiswa mahasiwi tetapi kita yakin sedikit sebanyak ilmu yang disediakan dalam kelas dapat menyumbang kepada masyarakat dan negara “, ujanya.
“Melalui jaringan kolaborasi antara SoG dan alumni pelbagai bentuk program boleh dilakukan dan dikongsikan berdasarkan kepada kepakaran dan pengalaman masing-masing” , tambah beliau lagi.
Halimah Abdul Manaf dalam ucapannya berkata, melalui Program Khidmat Masyarakat atau CSR, SoG dapat membantu agensi samada agensi kerajaan dan swasta dalam bidang perundingan dan penyelidikan.
“Apabila ada group research yang memerlukan kepakaran mereka berkolaborasi dengan masyarakat, maka program khidmat masyarakat inilah membantu mereka bagi mencapai matlamat penyelidikan serta menggalakkan keterlibatan alumni bagi menyumbang khidmat bakti mereka kepada masyarakat”, katanya.
Program santai petang bertemakan Hi Tea turut diserikan lagi dengan kehadiran Penjawat Utama SoG iaitu Dr. Azizah Zainal Abidin (Timbalan Dekan Akademik & Antarabangsa), Dt. Sharifuzah Osman (Pengerusi Program Sarjana Muda Pengurusan Awam), Prof. Madya Dr. Ahmad Zubir Ibrahim (Pengarah ILGS), Dr. Noranida Mokthsim (Pengerusi Program Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan), Dr. Sharif Shofirun Sharif Ali (Timbalan Dekan Penyelidikan & Inovasi), para pensyarah dan staf pentadbiran.
Oleh : Salina Abdullah
Gambar Oleh : Pusat Pengajian Kerajaan