All News

ALUMNI SOG KOMITED DI DALAM MENYUMBANGKAN KEPAKARAN, ILMU DAN PENGETAHUAN

Image

UUM ONLINE: Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) telah menganjurkan Bengkel “Technopreneur: A New Generation of Business” pada 28 dan 29 Disember 2022. Bengkel secara atas talian ini telah disertai oleh 66 orang mahasiswa SOG yang terdiri daripada mahasiswa program Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan dan Sarjana Muda Pengurusan Awam.

Program ini bertujuan untuk mempersiapkan mahasiswa menghadapi persaingan dunia kerjaya melalui pendedahan tentang bidang keusahawanan yang boleh diceburi sebagai salah satu kerjaya pilihan. Bahkan, penganjuran program berimpak tinggi yang berbentuk penasihatan kerjaya ini juga merupakan salah satu inisiatif SOG ke arah meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Para peserta amat bertuah kerana bengkel ini turut dihadiri oleh tiga orang alumni SOG yang bertindak sebagai moderator dan ahli panel. Kedua-dua ahli panel iaitu Dr. Rosfaraliza Azura Ramli dan Dr. Low Kah Choon telah berkongsi pengalaman jatuh bangun mereka sebagai seorang usahawan, di mana mereka juga tidak lokek untuk berkongsi rahsia kejayaan serta menitipkan tips dan pesanan buat mahasiswa agar tidak takut untuk menceburi bidang keusahawanan.

Bengkel yang dikendalikan selama dua hari ini dilihat telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada mahasiswa SOG. Bertepatan dengan tema bengkel ini iaitu “Technopreneur: A New Generation of Business”, maka terdapat tiga sesi forum yang telah diatur iaitu Sesi 1: Entrepreneurship As a Career Choice, Sesi 2: Cultivating An Entrepreneurial Mindset dan diakhiri oleh Sesi 3: Technology Integration In Business. Penglibatan alumni sebagai moderator dan ahli panel di dalam program ini bukan sahaja dapat merapatkan ukhuwah di antara alumni dan mahasiswa, bahkan sumbangan khidmat bakti mereka melalui kepakaran, perkongsian pengalaman serta perpindahan ilmu ini dapat menjadi inspirasi kepada generasi akan datang untuk turut sama terlibat dengan aktiviti-aktiviti alumni anjuran Pusat Pengajian Kerajaan.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) SOG, Sr. Dr. Farahiyah Fadzil berharap agar program yang melibatkan kerjasama alumni ini mampu memberi impak kepada pelajar di dalam usaha mempersiapkan mahasiswa menghadapi persaingan dunia kerjaya dengan menceburi bidang keusahawanan melalui penciptaan peluang kerjaya berbanding mencari pekerjaan di dalam sektor awam atau swasta selepas bergraduasi kelak. Program ini bukan sekadar berupaya memberi pendedahan awal kepada mahasiswa tentang platform terbaik yang boleh digunakan sebagai salah satu strategi pemasaran perniagaan seperti Shopee tetapi ia juga secara tidak langsung telah berjaya meningkatkan kemahiran digital serta mengasah kreativiti mahasiswa melalui penguasaan asas beberapa aplikasi sosial media seperti TikTok, Facebook dan Instagram. Beliau juga turut berterima kasih kepada kesemua pihak yang telah terlibat samada secara langsung atau tidak langsung di atas komitmen terbaik yang diberikan sepanjang penganjuran program ini berlangsung.