All News

PENUTUP PROGRAM SULAM & MEKAR SOG MERIAH RAI KOMUNITI KG KUALA SUNGAI DAUN, YAN KEDAH

Image

Bertarikh 13hb Januari 2023, telah berlangsung majlis penutup bagi program Service-Learning University for Society (SULAM) dan program Membina Kesejahteraan Rakyat (MEKAR) Pusat Pengajian Kerajaan (SoG) bertempat di Masjid Kampung Kuala Sungai Daun, Yan Kedah. Majlis Penutup tersebut telah dilaksanakan selama 2 hari 1 malam iaitu pada tarikh 12 hingga 13 Januari 2023. Program lain yang turut berlangsung adalah program Jalinan Kasih Anak Angkat bersama komuniti di sekitar kampung berkenaan.

Seramai 151 orang pelajar UUM yang mengambil subjek SULAM SoG iaitu subjek GMJT3113 Pentadbiran Alam Sekitar dan GMGA1013 Asas Pentadbiran Awam telah terlibat dalam program tersebut. Manakala sebanyak 36 buah keluarga angkat yang terdiri dari penduduk Kampung Sungai Daun Atas, Kampung Sungai Daun Tengah dan Kampung Kuala Sungai Daun juga telah terlibat dalam program jalinan kasih ini. Pelbagai pengisian aktiviti lain telah dilaksanakan, antaranya adalah aktiviti gotong-royong kenduri rakyat, aktiviti sukan rakyat dan aktiviti membersihkan 10 buah rumah warga tua di sekitar kampung tersebut.

Dekan Pusat Pengajian Kerajaan, Prof Madya Dr Halimah Abd Manaf dalam ucapannya menyatakan tentang pentingnya keterlibatan mahasiswa universiti dalam pelaksanaan aktiviti bersama masyarakat sekitar melalui pembelajaran dan pengajaran yang telah diperoleh di dalam bilik kuliah. Mahasiswa universiti bukan hanya mempelajari sesuatu dalam bilik kuliah untuk mendapatkan segulung ijazah, malah bertanggungjawab juga untuk turun padang bagi menyantuni masyarakat sekitar. Usaha ini sedikit sebanyak dapat menyemarakkan rasa kasih dan bantu-membantu antara satu sama lain.

Menurut Encik Zulkifli Omar iaitu selaku Pengulu Mukim Sungai Daun, beliau menyifatkan Program SULAM & MEKAR SoG berjaya dilaksanakan dengan jayanya melalui usaha universiti dalam membantu penduduk di sekitar Yan melalui 32 program SULAM SoG yang telah dilaksanakan di daerah Yan bermula awal Januari yang lalu. Beliau berharap agar program ini dapat diteruskan di masa hadapan bagi meningkatkan motivasi anak-anak kampung untuk ke menara gading.

Menurut wakil pelajar Nor Aini binti Mambang yang berasal dari Semporna Sabah, program jalinan kasih yang dijalankan oleh SoG ini adalah amat baik kerana memberikan pengalaman kepada para pelajar untuk merasai sendiri tinggal bersama keluarga angkat di Yan. Selain itu, pelajar juga dapat melihat dan mempelajari pelbagai budaya masyarakat yang berbeza dari tempat mereka sendiri.

Pandangan dari wakil pelajar Nanthini A/P Ananthen yang berasal dari Perak, pula β€œI engaged with the residents, and It was fantastic person and so kind to take care of me and my friends.”

Seorang lagi wakil pelajar iaitu Loo Wei Quan dari Pulau Pinang menyatakan β€œI think SULAM & MEKAR is a good project, but it could improve on the food and beverage side in order to having a balance taste which is not too spicy for certain students like me”.

Program penutup SULAM & MEKAR bagi semester A221 SoG ini telah dihadiri oleh lebih kurang 400 orang tetamu yang terdiri dari jemputan VIP, Dekan SoG, Pensyarah dan Staff SoG, pelajar-pelajar UUM serta penduduk di sekitar kampung kuala sungai daun. Para tetamu telah dihidangkan dengan makanan tengahari menu khas gulai daging kawah yang telah disediakan oleh penduduk kampung secara gotong-royong bersama staff dan pelajar-pelajar UUM pada hari tersebut.