All News

PELAJAR PELBAGAI UNIVERSITI MERIAHKAN SOG

Image

UUM ONLINE:  Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) menerima kunjungan delegasi dari Universitas Muhammadiyah Yogyakarta (UMY) dan Universitas Islam Riau (UIR), baru-baru ini.

Seramai 33 mahasiswa termasuk tiga mahasiswa program pertukaran pelajar di UIR iaitu dari Universitas Airlangga, Universitas Muhammadiyah Sorong dan Facchoschule Dortmund, German terlibat dalam menjayakan “SOG Inbound Mobility Programme (Non-Credit).

Dekan, Prof. Madya Dr. Halimah Abdul Manaf berkata, program mobiliti ini merupakan salah satu aktiviti kolaborasi akademik antarabangsa hasil daripada MOU yang termetrai bersama kedua-dua institusi.

Jelasnya, program seumpama ini turut memberi ruang kepada peserta untuk turun padang bersama-sama mendekati komuniti Yan bagi menjayakan Kenduri dan Sukan Rakyat sempena Projek SULAM SOG dan MEKAR.

Katanya, penganjuran program ini merapatkan lagi hubungan sedia ada yang terjalin di antara SOG dan kedua-dua universiti tersebut serta menjadi platform terbaik kepada semua peserta mobiliti menimba pengalaman baru sepanjang berada di UUM.

Sementara itu, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni SOG, Sr. Dr. Farahiyah Fadzil berkata, pengisian program mobiliti yang sarat dengan aktiviti menarik telah memberikan pengalaman berharga buat semua mahasiswa yang menyertainya.

“Aktiviti yang telah dijalankan antaranya ‘Intelectual Discourse, Campus Tour, Activities with SOG Students Society, Experiencing Kedah Culture, Community Engagement’,” ujarnya.

Manakala kehadiran mahasiswa UMY pula bertujuan untuk mendapatkan khidmat penyeliaan bersama secara langsung berkaitan topik penyelidikan yang sedang dijalankan.

Para peserta mobiliti berpeluang untuk merasai pengalaman belajar bersama-sama mahasiswa UUM di dalam dewan kuliah dan Studio SOG sewaktu sesi Intellectual Discourse berlangsung.

Kupasan idea menarik terhadap topik yang dibincangkan oleh ahli panel yang dilantik khas daripada barisan pensyarah UMY, UIR dan SOG telah menjadi wadah ilmu buat semua peserta.

Dalam pada itu, mahasiswa UMY dan UIR turut dibawa mengelilingi kampus UUM serta melawat beberapa tempat menarik di Kedah seperti Muzium Padi dan Menara Alor Setar.