UUM ONLINE : Bertemakan “National Security System in Combating Covid-19 Pandemic in Indonesia and Malaysia”, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) Universiti Utara Malaysia, Dr Zuliana Azwa Binti Zulkifli telah menerima undangan untuk menyampaikan ceramah secara maya di Universitas Sultan Ageng Tirtayasa (UNTIRTA), Indonesia. Jemputan terbabit merupakan jemputan sulung dibawah Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Riset dan Teknologi, Unit Pelaksana Teknis, Pusat Layanan Internasional. Ceramah disampaikan selama 3 jam bermula jam 9 pagi waktu Indonesia (10.00pagi waktu Malaysia) dan disertai seramai lebih 180 peserta yang terdiri daripada para pensyarah dan juga pelajar UNTIRTA. Turut sama dalam sesi adalah Dr Udi Samanhudi selaku Kepala UKT Layanan Internasional. Dr. Zuliana turut bergandingan dengan Encik Riswanda dalam mengupas topik pasca Covid-19.
Dr Zuliana dalam ucapan beliau memperkenalkan konsep MADANI dalam aplikasi pasca Covid-19. Konsep MADANI yang baru diperkenalkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia yang ke-10, Dato' Seri Anwar bin Ibrahim pada 19 Januari 2023. Konsep ini menekankan dasar rukun : Kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan yang mana seharusnya menjadi tunjang kepada perlaksanaan polisi dan dasar di Malaysia. Madani bermaksud maju dari segi pemikiran, kerohanian, kebendaan (bukan masyarakat, generasi dan sebagainya) dalam usaha membentuk masyarakat dengan menyemaikan nilai-nilai murni kekeluargaan.
Ceramah selama tiga jam ini menerima maklum balas positif dari para pendengar. Salah seorang peserta, Dewi-Setiyowati-Magister STIA Banten, beliau amat berminat untuk mengetahui bagaimana pihak pengurusan taska di Malaysia di era endemik. Hal ini kerana kanak-kanak usia 5-6 tahun merupakan mereka yang berada di usia emas untuk belajar namun pandemik Covid-19 telah mengekang mereka dari keluar dari rumah. Persoalan ini dibalas oleh Dr Zuliana yang menceritakan pengalaman peribadi beliau akan pengurusan taska di era pandemik yang tetap mementingkan prosedur dan penjarakan sosial bagi memastikan kesihatan kanak-kanak dibawah jagaan tetap terjaga. Menurut beliau , Bahkan kini meskipun kerajaan telah tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka, kanak-kanak seusia anak beliau (5-6 tahun) telah terbiasa dengan norma pemakaian pelitup muka dan tetap memakainya setiap kali keluar dari rumah dan ke tempat awam.
Ceramah ini diakhiri dengan sesi pemberian sijil dan bergambar dengan kesemua peserta.