All News

PROGRAM MOBILITI OUTBOUND (TIDAK BERKREDIT) SOG-TSU 2023

Image

SONGKHLA. Seramai 20 orang pelajar dari Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengambil bahagian dalam Program Mobiliti Outbound (Tidak Berkredit) ke Universiti Thaksin, Kampus Songkhla (TSU) dari 25 hingga 28 Februari 2023. Program ini bertujuan untuk memperkenalkan pelajar-pelajar SOG UUM dengan pengalaman sejarah dan kebudayaan Thailand melalui lawatan ke tempat-tempat bersejarah di Hatyai dan Songkhla.

Pelajar-pelajar SOG UUM turut berkongsi pengalaman pengajaran dan pembelajaran mereka dengan mahasiswa dan staf TSU dalam sesi suai kenal. Mereka turut melawat Folklore Museum yang mempamerkan tempat bersejarah, budaya tempatan, gaya hidup, seni dan kraf serta arkeologi yang merupakan warisan dan identiti Thailand.

Program ini turut menyaksikan majlis perasmian dan sesi ice-breaking antara mahasiswa TSU dan mahasiswa UUM. Dekan SOG, Prof. Madya Dr. Halimah Abdul Manaf bersama wakil Universiti Thaksin, Timbalan Dekan (Akademik dan Hubungan Antarabangsa) Dr. Lanchukorn turut menerangkan mengenai program yang ditawarkan di universiti masing-masing. Selain itu, Dekan SOG dan staf akademik TSU turut berdiskusi mengenai perancangan kerjasama penyelidikan, pertukaran staf dan sebagainya.

Aktiviti lain yang turut diadakan adalah Intellectual Discourse bertajuk ‘Student Engagement Strategies for A Captivating Classroom’ antara Dekan SOG, wakil TSU dan mahasiswa kedua-dua universiti. Selain itu, mahasiswa SOG UUM turut melawat ke sekitar TSU seperti fakulti, perpustakaan dan makmal komputer dalam sesi 'campus tour'.

Program mobiliti ini turut berjaya mencapai persetujuan antara SOG dan TSU mengenai pertukaran bidang kepakaran pensyarah dan pelajar, kerjasama penyelidikan, penerbitan dan persidangan bagi membangunkan minda global untuk kemajuan kerjaya dan kejayaan antara universiti.

Program ini dirancang oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) SOG, Sr. Dr. Farahiyah Fadzil dan disertai oleh Dr. Low Kah Choon (Pengerusi Jawatankuasa Praktikum dan Mobiliti SOG), Dr. Nur’Jila Mohammad (Penasihat Persatuan Pengurusan Awam) serta Dr. Rosfaraliza Azura Ramli (Penasihat Persatuan Pengurusan Pembangunan).

Ini adalah program mobiliti yang bermanfaat dan menyeronokkan bagi para pelajar SOG UUM dan merupakan inisiatif yang baik dalam memperkukuhkan hubungan antara SOG dan universiti luar negara.

Teks oleh: Dr. Nur’Jila Mohammad
Gambar oleh: Dr. Low Kah Choon dan Dr. Rosfaraliza Azura Ramli