All News

KENDURI DURIAN MEMERIAHKAN PROGRAM JALINAN KASIH & PENUTUP PROGRAM SULAM & MEKAR PUSAT PENGAJIAN KERAJAAN

Image

SINGKIR, YAN -  “Pucuk dicita, ulam mendatang” begitulah perumpamaan yang diterima oleh 50 pelajar yang menyertai program Jalinan Kasih anjuran Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) apabila warga penduduk Singkir Genting diketuai Encik Mohd Radzif Bin Ismail atau lebih dikenali dengan nama Cikgu Din menghidangkan lebih 100 biji durian bagi meraikan kedatangan mereka di daerah itu.

Program SULAM atau turut dikenali sebagai “ Service Learning Malaysia : Universiti For Society”  dilaksanakan bagi memenuhi amanat kerajaan dibawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), Institut Pengajian Tinggi (IPT) menggunakan SULAM sebagai salah satu elemen di dalam Pembelajaran Berimpak Tinggi (HIEPs, High Impact Educational Practices). Meneruskan kesinambungan semester lalu, daerah Yan dipilih sebagai lokasi program ini dilaksanakan selaras dengan perlaksanaan Program UUM-PIBKS Membina Kesejahteraan Rakyat (MEKAR).  Bagi semester A222, seramai 40 pelajar dari subjek GMGA1013 Asas Pentadbiran Awam (seliaan Dr Zuliaan Azwa Zulkifli) dan 45 pelajar dari subjek GMJT 3113 Pentadbiran Alam Sekitar (seliaan Dr Noranida Mokthsim dan Dr Nur Aili Hanim Hanafiah) terlibat dengan perlaksanaan program SULAM bermula 8 Mei 2023 sehingga 23 Jun 2023.

Selain itu, program SULAM dan MEKAR bagi semester A222 diberi nafas baru apabila dilaksanakan secara berkala dan turut melibatkan kerjasama antarabangsa dari Universitas Islam Riau (UIR) Indonesia. Antara program yang dirangka sepanjang 25 Mei 2023 ke 13 Jun 2023 adalah melibatkan 6 projek iaitu : 1) Environmental Awareness: An Urban Farming Approach to Prevention Climate Change on Vulnerable Community in Yan, Kedah ; 2) My Sustainable Village (Desaku Lestari) Approach to Improving the Welfare of Society in Yan, Kedah; 3) Living History: Moments That Matter; 4) Building A Strong Foundation: Essential Technical Skills Training for Beginners;5) Think Smart, Think Green 3R: We Make A Difference; dan 6) Komuniti Sifar Sisa: “Pengkomposan”. Program diteruskan dengan Program Jalinan Kasih & Penutup Program SULAM & MEKAR pada 21-23 Jun 2023 dan  Seminar Antarabangsa Khidmat Komuniti Kerjasama Universitas Islam Riau (UIR) dan Pusat Pengajian Kerajaan pada 22 Jun 2023.

Majlis penutup disempurnakan oleh Encik Mohammad Afifi Bin Mohammad mewakili Yang Dipertua Majlis Daerah Yan. Dalam ucapan beliau, pihak Majlis Daerah Yan merakamkan setinggi penghargaan buat komuniti penduduk Singkir dan juga Pusat Pengajian Kerajaan atas kejayaan melaksanakan program ini yang secara tidak langsung berjaya mengkomersialkan nama Yan dipersada antarabangsa. Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Yan sebagai pelancongan desa dan merupakan antara daerah paling bahagia dalam negeri Kedah.

Selain itu, Rektor Universitas Islam Riau, Prof Dr H.Syafrinaldi turut merakamkan penghargaan apabila delagasi dari Indonesia juga berpeluang untuk menikmati buah durian hasil daripada kemurahan hati penduduk setempat.