All News

Bas MEKAR UUM telusuri Yan, Kedah dekati masyarakat

Image

YAN: Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) julung kali menjadikan bas MEKAR sebagai platform menyebar luas informasi berkenaan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan pusat pengajian itu sempena Program Jalinan Kasih dan Program SULAM dan MEKAR Semester A222 Sesi 2022/23 di Kampung Mukim Singkir.

UUM menyediakan bas khas berwarna biru yang dilengkapi dengan bahan-bahan informasi mengenai UUM bertujuan untuk mempromosikan UUM kepada masyarakat.

Ini bertepatan dengan hasrat universiti untuk memasyarakatkan UUM dalam usaha memacu kesejahteraan rakyat.

 

Bas MEKAR UUM yang dilengkapi dengan bahan-bahan informasi mengenai UUM bertujuan untuk mempromosikan UUM kepada masyarakat.
Dekan SOG, Prof. Madya Dr. Halimah Abdul Manaf berkata, pihaknya membawa bas MEKAR itu yang merupakan simbolik kepada pusat pengajian yang mengadakan aktiviti luar kampus bagi tujuan promosi program pengajian di UUM.

Menurutnya, di dalam bas itu dipamerkan video dan informasi berkaitan UUM dan pusat pengajian terlibat yang menggunakan platform bas MEKAR itu.

“Di samping itu, kita mahu menunjukkan suasana kampus kepada masyarakat tentang inisiatif universiti yang bukan hanya tertumpu pada sesi pembelajaran dalam kampus tetapi juga luar.

“Justeru, sempena program 3 hari 2 malam anjuran SOG ini, penduduk kampung khususnya di Mukim Singkir berpeluang mengenali UUM dan mengetahui program pengajian yng ditawarkan di SOG khususnya menerusi hebahan maklumat di dalam bas MEKAR,” katanya pada Majlis Penutup Program Jalinan Kasih dan SULAM dan MEKAR di Masjid Ula (Masjidil’ula), Singkir Darat, Jumaat lalu.

 

Dr. Halimah memberikan taklimat kepada Mohammad Afifi Mohammad, Penolong Pegawai Daerah (Pendaftaran) Pejabat Daerah Yan dan penduduk kampung yang meninjau bas MEKAR.
Pada setiap semester, SOG akan mengadakan program komuniti melibatkan pelajar menerusi ‘Service Learning Malaysia University for Society’ (SULAM) dan ‘Membina Kesejahteraan Rakyat’ (MEKAR) di daerah Yan.

Kata Dr. Halimah, pada semester lalu mereka telah mengadakan program seperti itu di Sungai Daun dan akan membuat penggiliran di semua mukim yang terdapat di daerah tersebut.

Tambahnya, hubungan dengan masyarakat di Yan bukan baru kerana banyak aktiviti telah dijalankan termasuk program Bakti Siswa, jadi beliau ingin hubungan sedia ada ini berpanjangan.

“Kita mahu dedahkan pelajar kepada kehidupan masyarakat luar bandar dan ia akan menjadi memori indah kepada mereka apabila tamat pengajian kelak,” ujarnya.

 

Sementara itu, pelajar Semester 4, Fatimah Azzahraa’ Khairul Anuar dari Tanjung Malim berkata, dia teruja apabila pertama kali menyertai program Jalinan Kasih di mana mereka ditempatkan bersama keluarga angkat di kampung terlibat.

“Ini merupakan pengalaman baru saya tinggal bersama keluarga angkat selama tiga hari dua malam sejak menuntut di UUM, tambahan pula mendapat keluarga angkat yang sangat baik.

“Suasana kampung sangat berbeza dengan tarikan tersendiri, malah paling menarik apabila kawasan kampung ini berhampiran laut selain saya berpeluang masuk ke dusun durian,” kata pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat itu.

Perasmian penutup disempurnakan oleh wakil Pegawai Daerah Yan, Mohammad Afifi Mohammad, Penolong Pegawai Daerah (Pendaftaran) Pejabat Daerah Yan.

Selama tiga hari itu, semua pelajar ditempatkan bersama 18 keluarga angkat terdiri daripada penduduk Kampung Singkir Darat.

Pelbagai pengisian aktiviti telah diadakan antaranya gotong-royong kenduri rakyat, aktiviti sukan rakyat serta program perkongsian ilmu bersama 40 pensyarah dari Universitas Islam Riau (UIR) yang telah dijemput khas oleh SOG untuk bersama-sama menyantuni komuniti Kampung Singkir Darat itu.

Selain itu, pelajar turut mengikuti Seminar Antarabangsa Khidmat Komuniti kerjasama UIR dan SOG.