21 Jun 2023, Singkir, Yan- Kerjasama dari pelbagai sumber penajaan terutamanya dari MR D.I.Y. Trading Sdn Bhd dan Syarikat Abita Bio Nutrien telah membantu kelancaran projek SULAM bagi Semester A222. Program SULAM atau turut dikenali sebagai “ Service Learning Malaysia : Universiti For Society” dilaksanakan bagi memenuhi amanat kerajaan dibawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), Institut Pengajian Tinggi (IPT) menggunakan SULAM sebagai salah satu elemen di dalam Pembelajaran Berimpak Tinggi (HIEPs, High Impact Educational Practices). Meneruskan kesinambungan semester lalu, daerah Yan dipilih sebagai lokasi program ini dilaksanakan selaras dengan perlaksanaan Program UUM-PIBKS Membina Kesejahteraan Rakyat (MEKAR). Bagi semester A222, seramai 40 pelajar dari subjek GMGA1013 Asas Pentadbiran Awam (seliaan Dr Zuliana Azwa Zulkifli) dan 45 pelajar dari subjek GMJT 3113 Pentadbiran Alam Sekitar (seliaan Dr Noranida Mokthsim dan Dr Aili Hanim Hanafiah) terlibat dengan perlaksanaan program SULAM bermula 8 Mei 2023 sehingga 23 Jun 2023.
Menurut Eksekutif Tanggungjawab Sosial Korporat dari Syarikat MR. D.I.Y, Puan Nur Fitriatul Audra Binti Abdul Karim, beliau berbesar hati untuk turut membantu apabila dimaklumkan oleh pensyarah SOG, Dr Zuliana berkenaan program yang dinamakan “Desaku Lestari” yang memfokuskan keceriaan bagi kawasan Surau Haji Ali, Kedai Keling. Oleh itu, beliau telah menaja hampir keseluruhan peralatan untuk program berkenaan termasuk berus mengecat, sarung tangan, plastik sampah dan anggaran keseluruhan peralatan berkenaan bernilai lebih RM1,000. Selain itu, Syarikat Abita Bio Nutrien turut memberi sumbangan peralatan bagi projek “Urban Farming” dibawah seliaan Dr Noranida. Sumbangan terbabit bernilai lebih RM3,000.
Selain dari sumbangan terbabit, program ini juga mendapat sumbangan t-shirt dari syarikat Halakiri dan sumbangan barangan dapur dari S.Parimala Devi Enterprise, Chai Hing Enterprise dan juga Perniagaan Seri Asnat. Nilai sumbangan dianggarkan lebih RM2,000.
Tidak dilupakan, Jawatankuasa Kariah Masjid Masjidul’ Ula Singkir Darat yang menjadi platform utama menghubungkan komuniti Singkir dengan pihak UUM. Melalui kerjasama baik ini, para pelajar dan mereka yang terlibat begitu “langkah kanan” apabila dijamu raja buah sepanjang program disana.
Sumbangan ini menunjukkan kerjasama baik yang dibentuk oleh pelbagai agensi dengan pihak SOG untuk melaksanakan program SULAM di Yan.