All News

PROJEK DESAKU LESTARI CERIAKAN KAMPUNG SINGKIR DARAT YAN

Image

YAN, KEDAH: Pada 13 Jun 2023, Program “ My Sustainable Village (Desaku Lestari) : Approach to Improve the Welfare of Society in Yan, Kedah” di Mukim Singkir, Yan, Kedah dijalankan di Surau Haji Ali dan Jalan Kampung Singkir Genting. Program ini merupakan satu program khidmat masyarakat yang melibatkan pensyarah dari Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Dr Zuliana Azwa Binti Zulkifli dan seramai 20 orang pelajar dari Kursus GMGA1013 Asas Pentadbiran Awam dari Kumpulan 3 dan Kumpulan 1 serta beberapa orang daripada komuniti mukim Singkir yang diketuai oleh Encik Mohd Radzif Bin Ismail atau dikenali sebagai Cikgu Din.

Program ini dijalankan bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan kawasan kampung mukim Singkir melalui kelestarian dan keceriaan Surau Haji Ali dan Jalan Kampung Singkir Genting. Kelestarian dan keceriaan yang dibuat mampu memberi kesedaran kepada komuniti kawasan Singkir tentang kepentingan desa lestari dan membina semangat kerjasama demi menjayakan program ini serta mengeratkan hubungan antara pelajar dan komuniti mukim Singkir.

Menurut ketua projek kumpulan 3, Saudari Iffah Kamilia, ini merupakan kali pertama beliau turun ke daerah Yan dan beliau amat teruja dengan kerjasama yang diberikan oleh penduduk kampung. Beliau bersama-sama rakan pelajar amat gembira apabila penduduk kampung bukan sahaja turun padang menyertai aktiviti mereka, bahkan mereka dijamu dengan pelbagai buah-buahan tempatan seperti durian, manggis dan rambutan.

Perlaksanaan aktiviti SULAM bagi Semester A222 memerlukan para pelajar untuk turun padang sebanyak beberapa kali bagi melibat impak keberkesanan program dengan lebih jelas. Selain dari persediaan proposal yang dijalankan semenjak semester A222 bermula, para pelajar telah beberapa kali turun ke kawasan projek mereka iaitu pada 23 Mei 2023, 6 Jun 2023 dan juga 13 Jun 2023.

Selain itu, Iffah mengambil kesempatan ini untuk merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak penaja program khususnya Mr. DIY dibawah Puan Nurfitriatul Audra (Pegawai Perhubungan Korporat) yang menaja hampir kesemua peralatan mengecat bagi tujuan keindahan di daerah Yan. Selain DIY, kumpulan ini menerima banyak tajaan seperti air mineral dari  BSN Mart dan S Parimala Devi Enterprise, t-shirt dari Syarikat Halakiri dan juga cash dari individu.

Penghulu Mukim Singkir, En Nazri bin Ahmad amat terima kasih kepada pihak UUM kerana telah memilih daerah ini sebagai lokasi bagi projek SULAM bagi semester A222 yang mana memberi manfaat keceriaan kepada penduduk kampung beliau.