All News

KONVOKESYEN MINI RAI BAKAL GRADUAN KONVOKESYEN KE-35 UUM, SITI AIDA FARHAN

Image

Jitra- Seorang bakal graduan dari Pusat Pengajian Kerajaan yang akan bergraduasi pada Sidang Konvokesyen Universiti Utara Malaysia ke-35, saudari Siti Aida Farhan Binti Mohamood, terharu apabila menerima jubah konvokesyen di rumah kakaknya di Taman Melur, Jitra pada 10 Julai 2023 yang lalu. Lebih istimewa, pihak Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) turut mengadakan sesi ala konvokesyen mini apabila Dekan, Prof Madya Dr Halimah Abdul Manaf, bersama beberapa pensyarah menyarungkan jubah kepada Siti Aida.

Siti Aida tidak menyangka konvokesyen mini itu telah dirancang oleh pihak SOG yang sentiasa tidak lepas memberi perangsang dan semangat kepada beliau semenjak beliau telah disahkan menghidap kanser tulang (Right Distal Femur Osteosarcome) pada 14.06.2022. Pada waktu itu, beliau masih dalam tempoh menjalani Latihan praktikal yang berbaki 2 minggu di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah. Semenjak itu, Siti Aida telah menjalani beberapa rawatan kimoterapi,  pembedahan pada kaki kanan, dan radioterapi di kepala. Namun begitu, doktor mengesahkan bahawa beliau turut mengalami pendarahan dalam kepada dan didapati kanser beliau telah merebak di kepala, paru-paru, tulang punggung, peha kiri dan juga tisu peha kanan.

Menurut Dekan, beliau berharap agar Siti Aida tidak patah semangat walaupun diuji dengan kesihatan dan mendoakan agar Siti Aida dapat turut serta dalam sesi graduasi yang beliau pada Sidang Petang, 26 Julai 2023 nanti. Dalam masa yang sama, Dekan juga menyampaikan salam dari  Naib Canselor, Prof Dr. Fo’ad Sakdan yang tidak dapat hadir sewaktu penyerahan jubah konvokesyen terbabit.

Selain itu, kakak Siti Aida, Puan Siti Khairul Bariah (pensyarah di Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Jitra dan juga bekas alumni program Master of Public Management (MPM), SOG) amat berterima kasih dengan bantuan yang dihulur oleh pihak UUM baik dari segi moral mahupun kewangan. Menurut beliau, UUM tidak lepas tangan dan sentiasa berusaha untuk membantu Siti Aida. Pelbagai bantuan seperti  ambulan dari pihak Pusat Kesihatan Universiti dibawah  Dr Adi Azhar bin Abdul Razak, sokongan dari Hal Ehwal Akademik dan Hal Ehwal Pelajar termasuk dari SOG dan rakan-rakan  seperjuangan Siti Aida amat dihargai.

Turut hadir dalam sesi terbabit adalah para pensyarah Pusat Pengajian Kerajaan seperti Puan Zalinah Ahmah, Dr Siti Syuhadah Mohammad, Prof Madya Dr Rozita Arshad, Dr Zuliana Azwa Zulkifli dan juga Puan Noor Faizzah Dollah.