All News

ICONPO XII 2023: JENTERA KERAJAAN PERLU BERSEDIA DENGAN 5A

Image

UUM ONLINE: Kota Kinabalu - Pentadbiran jentera kerajaan akan menjadi semakin cekap dan efektif apabila berupaya bekerja menggunakan kerangka 5A iaitu ‘Available At Anytime, Anywhere with Any mobile devise’ (bersedia ada pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja dengan sebarang peranti mudah alih).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) melalui Jabatan Perkhidmatan Komputer (JPKN) dan Sabah Net akan memastikan pendigitalan diperkembangkan secara konsisten melalui pelbagai perancangan dan program pendigitalan.

Menurutnya, kerajaan akan merancakkan penggunaan solusi perkomputeran awam selaras dengan dasar yang telah dilancarkan MyDigital Economy Blueprint.

"Kita perlu menjadi lebih kreatif dan proaktif dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi digital seperti pemasaran digital, penggunaan pelbagai aplikasi, dan penggunaan secara maya,” katanya dalam teks ucapan beliau yang dibacakan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Beliau berkata demikian dalam Persidangan Antarabangsa Pertubuhan Awam (ICONPO XII) di Hotel Pacific Sutera, Kota Kinabalu. Persidangan tahunan itu dianjurkan bertujuan untuk mengenal pasti penyelesaian optimum untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam melalui transformasi digital.

Bertemakan ‘Memperkukuh Transformasi Digital Ke Arah Tadbir Urus Pintar’, ICONPO XII merupakan program anjuran Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Asia Pacific Society for Public Affairs (APSPA).

Persidangan selama dua hari bermula 17 Ogos itu dihadiri lebih 300 peserta

Sempena persidangan itu juga turut diadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UUM dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di mana UUM telah diwakili Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan, manakala MUIS oleh Yang Dipertua, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin.

Pemeteraian MoU itu disaksikan oleh Masidi yang turut melancarkan Sabah Halal Action Plan 2023-2025 pad amajlis berkenaan.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Shahimi Mohtar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Dekan Pusat Pengajian Kerajaan, Prof. Madya Dr. Halimah Abdul Manaf dan Pengarah ICONPO XII, Dr. Nur Syakiran Akmal Ismail.

Selain itu, Peguam Besar Negeri, Datuk Nor Asiah Mohd. Yusof; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas), Sapdin Ibrahim; Timbalan YDP MUIS, Ustaz Malai Malai Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Ramlan Awang Ali.

Sementara itu, Dr. Mohd Foad merakamkan ucapan terima kasih kepada Pusat Pengajian Kerajaan UUM dan MUIS atas kejayaan inisiatif mengadakan kerjasama strategik tersebut.

"UUM juga bersedia membantu kerajaan dalam penggubalan dasar dalam pelbagai aspek khususnya berkaitan transformasi digital dan pemantauan pelaksanaan.

“Matlamatnya adalah untuk mencapai tadbir urus pintar yang komprehensif dan memaksimumkan potensi negara untuk mengatasi cabaran global yang merentasi sempadan," katanya.