All News

NAIB CANSELOR LANCARKAN ALUMNI UUM CHAPTER SABAH

Image

KOTA KINABALU, 17 Ogos 2023: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr Mohd Foad Sakdan hari ini melancarkan Alumni UUM Chapter Sabah, sambil bersama-sama mengimbas nostalgia ketika belajar dahulu.

Alumni UUM Chapter Sabah terdiri daripada graduan UUM yang kini merupakan ahli perniagaan, pemimpin masyarakat dan birokrat datang untuk memperingati perjalanan pendidikan mereka bersama, sekali gus menyokong hasrat UUM untuk bersama-sama memajukan alma mater mereka.

“Universiti berhasrat dapat bekerjasama secara berterusan dengan alumni UUM Chapter Sabah dalam aktiviti-aktiviti yang dapat menyumbang kepada pembangunan universiti serta warganya sesuai dengan slogan UUM yang tak pernah berubah sejak penubuhannya, “Ilmu, Budi, Bakti.

“Sempena usia UUM yang bakal berusia 40 tahun pada 16 Februari 2024, saya mempelawa alumni UUM Chapter Sabah untuk mengadakan aktiviti bersama universiti seperti Alumni Homecoming pada tahun hadapan,” katanya dalam Sesi Kupi-kupi bersama Naib Canselor UUM di Hotel Promenade, Kota Kinabalu.

Program Alumni Homecoming 2024 akan diadakan selama tiga hari dua malam dan alumni akan menduduki bilik lama mereka, dan boleh menggunakan pelbagai kemudahan yang disediakan oleh UUM.

Malam terakhir akan diadakan jamuan di Dewan Mas, tempat terakhir mengambil skrol ijazah.

Berlatarbelakangkan matahari terbenam di Kota Kinabalu yang indah, pelancaran Alumni UUM Sabah ini bukan sahaja sekadar sambutan pencapaian lepas alumni UUM tetapi juga permulaan era baharu kerjasama, kemajuan dan perubahan transformatif.

Majlis ini juga menyaksikan serahan sumbangan sebanyak RM6,600 daripada Alumni UUM Chapter Sabah untuk dimanfaatkan kepada pelajar UUM dari Sabah.

Prof. Dr Foad Sakdan juga berkongsi dengan semua yang hadir jumlah alumni dari Sabah yang kini sudah mempunyai 5,416 orang.

Antara alumni UUM chapter Sabah yang hadir ialah Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Raime Unggi.

Turut hadir Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni UUM; Prof. Madya Dr Mohd Sobri Don, Pengarah Pusat Alumni UUM dan Prof. Madya Dr Herman Shah Anuar, Pengarah UUM PACE.

Sementara itu, dalam sesi soal jawab bersama Naib Canselor, salah seorang alumni bertanyakan tentang keperluan untuk mewujudkan kampus UUM di Sabah, Prof. Dr Mohd Foad menjelaskan bahawa pihak UUM melalui kerjasama bersama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sedang berusaha ke arah itu.

Selain itu, salah seorang alumni dari tahun 1985, Puan Marina Marion turut berkongsi pengalaman beliau kepada ahli alumni lain ketika berada di kampus yang mana pada waktu tersebut, kampus UUM bertempat di Tanah Merah, Jitra dan bagaimana beliau dan rakan-rakan beliau menghabiskan masa ketika di kampus.