All News

UUM BANTU JAYAKAN PELAN TINDAKAN HALAL SABAH 2023-2025

Image

UUM ONLINE: Kota Kinabalu - Universiti Utara Malaysia (UUM) akan membantu menjayakan Pelan Tindakan Halal Sabah 2023-2025 dengan menyediakan kepakaran penyelidik dalam kalangan pensyarah bidang halal.

Dekan, Pusat Pengajian Kerajaan, Prof. Madya Dr. Halimah Abdul Manaf berkata, pelan itu akan melibatkan empat teras utama, iaitu membudayakan pendidikan halal dan memperkukuhkan kesedaran pemain industri halal, membangun dan memperkasa digitalisasi dalam pengurusan halal, merangsang pembangunan usahawan dan produk halal secara holistik dan membangunkan sistem logistik untuk industri halal Sabah.

“Kerjasama antara UUM dengan Kerajaan Negeri Sabah dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan halal hub Sabah melalui pencapaian pelan tindakan terbabit,” katanya selepas Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Halal Sabah di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun bersama dengan Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan pada persidangan ke-12 International Conference on Public Organization (ICONPO XII).

Halimah berkata, pelan tindakan itu antara lainnya menyasarkan untuk memberi nilai tambah kepada perkembangan industri halal Sabah.

Jelasnya, aktiviti penyampaian perkhidmatan kerajaan dengan memanfaatkan teknologi pendigitalan itu akan menghasilkan perkhidmatan yang cekap dan berkesan kepada orang awam.

Katanya, persidangan itu berjaya mendapat sambutan apabila berjaya menghimpunkan penyelidik daripada beberapa negara dari seluruh dunia untuk membincangkan penyampaian perkhidmatan awam melalui transformasi digital.

Persidangan ini menyaksikan 46 pembentangan yang berlangsung secara bersemuka melibatkan pembentang dari negara Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan 34 lagi secara atas talian dengan peserta dari Nigeria, Pakistan, Zimbabwe dan Taiwan.

Manakala Prof. Dr. Achmad Nurmandi dalam ucaptamanya berkata, penggunaan platform digital boleh membantu kerajaan untuk lebih dekat dengan orang awam.

Beliau menyatakan teknologi akan dapat membantu kerajaan untuk memperbaiki dan memperkemaskan dasar sedia ada.