UUM ONLINE: Institut Kajian Kerajaan Tempatan (ILGS), Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Alor Setar telah berkongsi panduan pengurusan kewangan kepada peserta melalui modul ‘Ringgit Sentap Kasi Mantap’ yang menekankan kaedah perbelanjaan pendapatan, kaedah pengurusan hutang dan persiapan menghadapi persaraan.
Perkongsian tersebut diadakan melalui Program Memperkasa Pengurusan dan Tadbir Urus Kewangan Kalangan Petani Padi Berskala Kecil yang melibatkan 20 pesawah yang berdaftar dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Changlun dan Asun.
Antara objektif utama program ini adalah bagi memberikan pendedahan terperinci berkaitan pengurusan kewangan kepada golongan sasar program ini di samping memberikan informasi mengenai khidmat nasihat dan kaunseling kewangan yang ditawarkan oleh AKPK.
Pengarah ILGS-SOG, Prof Madya Dr. Ahmad Zubir Ibrahim, menyifatkan kerjasama antara UUM dengan PPK dan AKPK ini akan berterusan di masa hadapan demi membantu masyarakat.
“Kita akan merancang lebih banyak program yang dapat membantu pesawah padi dalam meningkatkan pendapatan mereka selain program ini pada masa akan datang,” katanya.
Beliau menegaskan institusi pendidikan turut bertanggungjawab dalam membantu meningkatkan sosioekonomi rakyat setempat.
Dalam pada itu, Ketua Cawangan AKPK Alor Setar, Mohd Faizal Mohd Salleh berkata, cabaran situasi ekonomi masa kini akibat kesan Covid-19 seharusnya menyedarkan ramai pihak terutamanya golongan bekerja sendiri tentang perangcangan kewangan.
Oleh: Nurzalyna Mohamed Zaki