All News

KESIHATAN MENTAL DI TEMPAT KERJA JADI PERHATIAN

Image

SINTOK: Kesihatan mental, selain fizikal kini kian menjadi keutamaan atau fokus dalam program kesejahteraan di tempat kerja pada hari ini.

Bertekad untuk memberi kesedaran tentang pentingnya pengurusan stres dalam penjagaan kesihatan mental, Jawatankuasa Kebajikan, Keceriaan, Sukan dan Rekreasi (JKKSR), Pusat Pengajian Kerajaan (SoG), Universiti Utara Malaysia telah menganjurkan Program Minda Sihat bertemakan ‘Happy Hour’ di Bilik Seminar SoG, baru-baru ini.

Dekan SoG, Prof. Madya Dr. Halimah Abdul Manaf berkata, program Minda Sihat merupakan platform kepada staf mengurus kes-kes pengurusan stress dan membantu pembangunan pusat pengajian dalam meningkatkan kesejahteraan staf.

“Saya sedar bahawa kesihatan mental kini semakin berleluasa dalam kalangan staf kita bagi semua peringkat usia.

“Pada 15 Oktober 2023 akan bermula tempoh pengajaran dan pembelajaran bagi Semester Pertama Sesi 2023/2024, justeru bagi memantapkan kesihatan mental dan fizikal, program sebegini sangat diperlukan kerana sebagai persediaan ‘lifestyle‘ agar memberi input dan tips sebagai mentor atau pendidik dalam kalangan staf akademik,” katanya.

Pusat Pengajian Kerajaan merupakan pusat pengajian pertama yang dibentangkan keputusan ‘outreach’ bagi Ujian Saringan Kesihatan Mental (SSKM) berdasarkan ujian profile kesihatan mental yang dilakukan oleh Pusat Kesihatan Universiti (PKU), baru-baru ini.

Menurut Pegawai Psikologi, Jabatan Pendaftar UUM, Dr. Asma Mat, skor yang diperolehi oleh Pusat Pengajian Kerajaan adalah 4/5 staf pentadbiran dan 6/39 bagi staf akademik.

“Percaya atau tidak, emosi yang tidak stabil dan sensitif pada usia 40 tahun ke atas merupakan penyumbang utama penyakit (tiga serangkai) iaitu diabetes, darah tinggi dan kolesterol.

“Faktor kebiasaan terjadinya penyakit ini sering dikaitkan dengan cara hidup, persekitaran dan pemakanan,” katanya.

Beliau menjelaskan hal itu ketika memulakan sesi ceramah ‘Badan Sihat, Minda Sihat’, selain sesi perkongsian ilmu, pengalaman dan panduan bagi memantapkan pengetahuan tentang pencegahan dan pengesanan awal penyakit mental.

Tambah Dr. Asma, memandangkan keputusan ujian profile Pusat Pengajian Kerajaan dengan skor tinggi, aspek yang perlu diberi perhatian khusus adalah mencegah penyakit mental kerana setiap masalah mempunyai cara menanganinya antaranya melalui kognitif (pemikiran manusia), emosi dan tingkah laku.

Berdasarkan Kajian Kesihatan Mental di Malaysia pada tahun 2015 (Kajian Morbility Kesihatan Peringkat Kebangsaan), sejumlah 600,000 kanak-kanak berumur 5-15 tahun dan 4.2 juta daripada 30 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan dewasa mengalami masalah mental.

Beliau turut menyarankan agar majikan di semua peringkat perlu mengambil berat soal tahap kesihatan mental setiap pekerja bagi mengelakkan berlaku risiko kemurungan.

Jelasnya, peranan majikan di negara ini dalam mempromosikan kesedaran soal kesihatan mental di tempat kerja masih pada tahap yang rendah.

“Tekanan kerja secara umumnya berpunca daripada tanggungjawab atau beban tugas yang tidak berpadanan dengan pengetahuan, kemahiran atau jangkaan individu tersebut sehingga menyebabkan mereka sukar untuk menanganinya.

“Tekanan ini akan menjadi bertambah teruk apabila mereka tidak mendapat sokongan daripada rakan sejawat atau ketua dan tidak mempunyai kawalan terhadap punca tekanan,” tambahnya.

Oleh itu, Dr. Asma menasihatkan agar tekanan perlu ditangani di peringkat awal dan sekiranya ia dibiarkan berpanjangan, dikhuatiri boleh menyebabkan berlakunya kemurungan, kegelisahan, mencetuskan penyakit serta menyebabkan penyakit fizikal sedia ada menjadi bertambah teruk.

Untuk itu adalah penting agar pekerja dan majikan bersama-sama berusaha untuk mengurangkan tekanan serta menjadikan persekitaran kerja kondusif dan harmoni. Selain itu, tips untuk menjaga kesihatan mental adalah melalui senaman, penglibatan dalam komuniti, penjagaan pemakanan dan sebagainya. – Salina Abdullah

Gambar Mohd Mahadi Mohd Razani

Oleh : Salina Abdullah

Gambar Oleh : Mohd Mahadi Mohd Razani