All News

ALUMNI SOG SUMBANG KEPAKARAN DAN SMART TV DALAM PROGRAM PEMBANGUNAN USAHAWAN : 15 HARI MEMBINA JUTAWAN BERJAYA

Image

Sintok, 3 November 2023- Bakti ditabur terus mewangi dengan penyerahan sumbangan Smart Board berjenama Imago bersaiz 89 inci oleh Alumni Pusat Pengajian Kerajaan, Sarjana Muda Pengurusan Awam Tahun 2008, Puan Azmanira Ismail untuk dimanfaatkan oleh warga Universiti Utara Malaysia, khususnya di Pusat Pengajian Kerajaan. 

Sumbangan terbabit diserahkan kepada Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA) UUM  dan turut di sertai oleh Pengarah Eksekutif Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Dr. Hasnizam Hassan, Prof. Madya Dr. Halimah Abdul Manaf selaku Dekan Pusat Pengajian Kerajaan dan Prof. Madya Dr. Ahmad Zubir Ibrahim selaku Pengarah Institute of Local Government Studies (ILGS).

Turut hadir adalah barisan penjawat Pusat Pengajian Kerajaan, Prof. Madya Dr. Muslimin Wallang dan Dr. Sharifuzah Osman, barisan trainer Cybicom (M) Sdn Bhd, Puan Afzal Umi Ismail, Encik Shaharudin Zakaria (Alumni UUM Tahun 2002) dan ASP Jamilah Mohamad (Alumni BPM 2008) selaku pengerusi majlis.

Menurut Prof. Dr. Ahmad Martadha, beliau bercita-cita untuk melahirkan usahawan jutawan dengan program perintis ini. Program sebegini kebiasaannya menelan kos ribuan ringgit dan para pelajar kohort pertama ini amat beruntung kerana adanya alumni yang sudi berkongsi secara percuma. Tidak hanya perkongsian yang ditawarkan adalah percuma, Puan Azmanira juga turut memberi tajaan untuk t-shirt peserta dan sekretariat, goodies bag, sijil penyertaan dan turut menawarkan peluang praktikal dengan bayaran elaun yang tinggi untuk peserta program ini serta peluang kerjaya bersama pihak beliau.

Untuk makluman, program Pembangunan Usahawan: 15 Hari Membina Jutawan Berjaya menerima permohonan lebih ratusan pelajar namun keutamaan untuk kohort pertama ini hanyalah seramai 50 orang. Program 2 hari bermula 3-4 November 2023 ini merupakan program ulung yang menekankan hands-on kepada proses permohonan tender dan e-perolehan.

Penulis berita: Dr Zuliana Azwa Binti Zulkifli