All News

PROGRAM 15 HARI MEMBINA JUTAWAN BERJAYA ANGKAT PERSPEKTIF BARU DALAM PILIHAN KERJAYA MAHASISWA

Image

Sintok, 4 November 2023- Sebelum menghadiri program ini, rata-rata pelajar menjawab mereka akan menjadi penjawat kerajaan dan bekerja di syarikat swasta sesudah tamat pengajian. Namun, perspektif dan minda mereka seakan terbuka apabila didedahkan dengan kemahiran mengisi tender e-perolehan dan menubuhkan syarikat di bawah Program Pembangunan Usahawan : 15 Hari Membina Jutawan Berjaya. Program selama 2 hari ini berlangsung pada 3-4 November di Bilik Seminar, Pusat Pengajian Kerajaan.

Program terbabit adalah idea asal daripada Alumni Program Sarjana Muda Pengurusan Awam tahun 2008, Puan Azmanira Ismail yang merupakan contoh jutawan yang berhasrat untuk melahirkan lebih ramai jutawan melalui program ini. Puan Azmanira turut membawa bersama barisan jurulatih Cybicom (M) Sdn. Bhd. yang berkaliber iaitu Puan Afzal Umi Ismail dan Encik Shaharudin Zakaria (Alumni UUM Tahun 2002) serta ASP Jamilah Mohamad (Alumni BPM Tahun 2008) selaku pengerusi majlis. Turut hadir adalah Puan Haniza Eliani Binti Mansor dan Puan Jismanisa Binti Idris yang juga Alumni BPM Tahun 2008.

Menurut Irfan Danial, peserta program dan juga wakil dari Majlis Perwakilan Pelajar UUM, beliau tidak menyangka beliau akan didedahkan dengan perkongsian yang amat berharga tanpa dikenakan sebarang bayaran. Program sebegini sekiranya ditawarkan diluar, akan menelan kos ribuan ringgit dan untungnya kami siap dapat tajaan makanan, t-shirt,goodies, e-sijil dan macam-macam lagi, katanya.

Lebih menarik, Cybicom (M) Sdn. Bhd. juga membuka peluang untuk peserta terpilih untuk menjalani latihan industri di syarikat tersebut dengan elaun RM1,000 sebulan. Peserta juga dijanjikan peluang untuk diserap masuk untuk bekerja di syarikat tersebut setelah tamat tempoh latihan industri dengan kadar gaji dari RM1,800 ke RM2,400 sebulan dan gaji premium RM4,000 sekiranya menepati syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarikat itu.

Program ini menyasarkan objektif untuk meningkatkan peluang kebolehpasaran graduat selepas belajar dan peluang untuk menjadi jutawan dengan menyertai tender yang ditawarkan oleh pihak kerajaan. 

Penulis berita: Dr Zuliana Azwa Binti Zulkifli