Sintok: Seramai 116 pelajar cemerlang diraikan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Dan Anugerah Dekan Pusat Pengajian Kerajaan Sesi A222 di Auditorium SOIS, Universiti Utara Malaysia.
Pelajar Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan, Abdul Hakim Abd Hamid meraih tiga anugerah iaitu Anugerah Dekan A222 (PMS 4.0), Anugerah Akademik Terbaik (PMK 3.91) dan Anugerah Khas Kepimpinan (Presiden Persatuan Pengurusan Pembangunan Tahun 2023).
“Alhamdulillah, segala penat-lelah selama ini akhirnya terbalas dengan sesuatu yang sangat manis yang tidak pernah dijangka dan sebagai pelajar tahun akhir, pengiktirafan tersebut memberikan motivasi kepada saya untuk terus berusaha bagi menghabiskan sesi pembelajaran yang masih berbaki satu semester,” katanya.
Mengulas mengenai strategi belajar, Abdul Hakim mengulang kaji seawal pagi serta membuat jadual bagi menyiapkan tugasan dan perkara lain yang penting.
“Dengan cara ini, saya boleh memastikan saya sentiasa ‘on track’ dengan tanggungjawab sebagai pelajar selain memohon restu daripada kedua-dua ibu bapa dan meminta mereka untuk mendoakan kejayaan terutamanya setiap kali kuiz, pembentangan mahupun peperiksaan.
“Saya juga membantu rakan-rakan yang memerlukan di samping sentiasa menjaga hubungan baik dengan para pensyarah demi keberkatan ilmu yang dicurahkan,” ujarnya.
Beliau aktif dalam perdebatan dan pernah menyertai pelbagai pertandingan debat di peringkat kebangsaan dan muncul Johan Pertandingan Debat Koperasi IPT Piala Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, membawa pulang wang tunai RM8,000.
“Bagi saya, melalui penyertaan dalam dunia perdebatan membolehkan saya mengasah kemahiran asas di samping memupuk kemahiran lain yang boleh diterapkan dalam alam industri nanti,” katanya.
Di sebalik kejayaan yang dikecapi beliau diuji dengan masalah kesihatan semasa awal semester pengajian sehingga terpaksa menangguhkan pengajian atas nasihat doktor pakar.
“Pada masa tersebut, saya sedar kesihatan adalah nikmat yang jarang kita syukuri sehinggalah bila kita sakit. Berbekalkan dorongan dan semangat daripada ahli keluarga, saya kembali sihat dan memperoleh keputusan PMS 4.0 pada ketika itu diikuti Anugerah Dekan bagi setiap semester.
“Sejak itu, saya berpegang dengan prinsip hidup, jangan pernah berputus asa dari rahmat Allah. Dalam mengejar sesuatu perkara, utamakan kesihatan kerana apabila sakit, pasti sukar untuk kita melakukan apa-apa perkara,” ujarnya.
Sebagai pelajar yang akan masuk ke alam industri tidak lama lagi, mahasiswa kini perlu mempelajari pelbagai ilmu dan kemahiran asas yang diperlukan dalam mempersiapkan diri mereka ke arah keperluan industri semasa.
Justeru, penting untuk mahasiswa mempersiapkan diri dengan kemahiran asas seperti ‘soft skills’, critical thinking skills, agar mahasiswa sentiasa beradaptasi dengan apa jua bentuk perubahan yang datang.
Dekan Pusat Pengajian Kerajaan, Prof. Madya Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid berkata, program ini merupakan platform terbaik untuk meraikan kejayaan pelajar yang memperoleh pencapaian akademik Purata Mata Semester (PMS) 3.67 ke atas.
“Penganjuran program ini juga bertujuan untuk mengiktiraf kecemerlangan pelajar yang memperoleh Purata Mata Kumulatif (PMK) tertinggi bagi setiap ambilan untuk kedua-dua Program Sarjana Muda Pengurusan Awam dan Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan.
“Saya berharap agar mahasiswa yang keluar dari universiti nanti bukan sekadar cemerlang akademik, malah mempunyai jiwa dengan kemampuan untuk mempamerkan nilai insaniah melalui pembentukan karakter dan sahsiah mereka,” ujarnya
Pelajar turut diingatkan agar memiliki daya pemikiran kritis bagi mempersiapkan diri ke arah menjadi pemimpin yang sedia berhadapan dengan apa jua cabaran selain menggunakan kebijaksanaan dengan menyalurkan sumbangan bermakna seperti ilmu, tenaga dan kepakaran terhadap komuniti demi pembangunan masyarakat.
“Ilmu yang dimiliki juga haruslah dikongsi bersama rakan-rakan yang lain agar sama-sama dapat menggenggam kejayaan,” ucapnya sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Dan Anugerah Dekan Pusat Pengajian Kerajaan Sesi A222.
Menurut Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Sr. Dr. Farahiyah Fadzil, penganjuran majlis dengan kerjasama Persatuan Pengurusan Pembangunan, Persatuan Pengurusan Awam dan Pusat Pengajian Kerajaan ini berjaya mengasah bakat kepimpinan dalam diri mahasiswa yang menjadi jentera penggerak program.
Ujarnya, SOG sentiasa mempersiapkan mahasiswa untuk memenuhi keperluan industri, di mana kesemua sekretariat program ini telah dilatih untuk bekerja dalam satu pasukan, belajar untuk membuat keputusan, mengasah kemahiran menyelesaikan masalah serta diberi kebebasan untuk menzahirkan kreativiti di dalam pengendalian majlis.