DISKUSI AMBANG RAMADHAN TETAMU DINANTI
Sempena menyambut bulan Ramadan, Jawatankuasa Kebajikan, Keceriaan, Sukan dan Rekreasi (JKKSR), Pusat Pengajian Kerajaan (SoG) mengadakan Diskusi Ambang Ramadan bertempat di Bilik Seminar, Pusat Pengajian Kerajaan (SoG) dan secara atas talian (FB Live), baru-baru ini.
Sebelum bermulanya diskusi ambang Ramadhan, Al-Fathil Ustaz Nurul Aswar Nasron, Pengarah Urusan UNAN Travel & Tours Sdn. Bhd. telah memimpin bacaan yasin dan doa selamat sebagai memberkati majlis tersebut.
Seramai 135 staf SoG dan warga Universiti Utara Malaysia hadir dan turut serta dalam program ilmu ini dan sama-sama mendengar ceramah yang bertajuk “Ramadhan Tetamu Yang Dinanti” yang telah disampaikan oleh Al-Fathil Ustaz Nurul Aswar Nasron yang membincangkan perkara-perkara yang perlu bagi setiap individu muslim lakukan sebagai persediaan sebelum menjelang Ramadan
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Keceriaan, Sukan dan Rekreasi (JKKSR) SoG, Dr. Zuriana Zahrin berkata, penganjuran program ini bertujuan meraikan kedatangan bulan ramadhan, meningkatkan kualiti ibadah, dan mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah SAW ketika berada dalam bulan Ramadhan kepada staf akademik dan pentadbiran yang akan di sambut pada 12 Mac 2024.
Dalam sesi ceramah tersebut, Al-Fathil Ustaz Nurul Aswar Nasron mengingatkan kepada staf tentang matlamat berpuasa adalah untuk mentaati perintah Allah berdasarkan Firman Allah : “Tidaklah Aku (Allah) menjadikan manusia melainkan untuk mengabdikan kepadaKu”
Beliau memberi penekanan bahawa dalam bulan Ramadhan mempunyai banyak keberkatan sebagaimana Rasulullah SAW menyebut Ramadan sebagai bulan yang agung dan juga sebagai bulan yang penuh berkat. Kerana keagungan dan keberkatan yang menghiasi bulan Ramadan itu, maka bulan Ramadan selalu dinanti-nantikan kehadirannya oleh warga Muslim di seluruh pelosok dunia.
“Perkataan berkat itu membawa erti kebaikan dan kebajikan yang melimpah. Menurut seorang ulama tafsir terkenal Al-Asfihani, sesuatu yang disebut berkat apabila di dalamnya terkandung kebaikan dan kebajikan yang amat banyak”, katanya.
Beliau mengharapkan semoga staf dapat memperbanyakkan membaca Al-Quran kerana Ramadhan adalah bulan al-Quran. Satu-satunya bulan yang disebut dalam al-Quran melalui firmanya Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi sekelian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk. (al-Baqarah: 185) sebulan Ramadhan ini juga lah Baginda saw bertadarus al-Quran dengan Jibril as.
“Tadarus al-Quran bermaksud membaca al-Quran, memahami dan mengkaji kandungan al-Quran. Banyak masjid dan surau mengadakan program tadarus al-Quran seusai solat terawih”, ujarnya.
Beliau turut mengingatkan supaya yakinlah, janji Allah itu pasti bagi mereka yang memperbanyakkan sedekah dibulan Ramadan. Perkara ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari maksudnya:
“Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan. Dan Baginda lebih dermawan lagi pada bulan Ramadan saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al Qur’an. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Pada majlis itu, Pengerusi JKKSR, Dr. Zuriana Zahrin telah menyampaikan cenderamata kepada Al-Fathil Ustaz Nurl Aswar Nasron.
Oleh : Salina Abdullah
Gambar Oleh : Mohd Mahadi Mohd Razani