All News

JKKSR ANJUR MAJLIS KHATAM AL-QURAN MUSLIMAT

Image

SOGONLINE: Jawatankuasa Kebajikan, keceriaan, Sukan dan Rekreasi (JKKSR), Pusat Pengajian Kerajaan (SoG) menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran Muslimat bersempena Hari Nuzul Al-Quran bagi mengimarahkan bulan Ramadhan, baru-baru ini.

Program dalaman JKKSR ini juga bertujuan memupuk semangat cinta kepada Al-Quran.

Tadarus Al-Quran telah diadakan bermula 2 Ramadan disertai hampir 35 peserta muslimat terdiri daripada staf akademik dan pentadbiran.

Majlis Khatam Al-Quran dimulakan dengan bacaan oleh Ahli Jawatankuasa Keagamaan, JKKSR, Zalinah Ahmad.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Keceriaan, Sukan dan Rekreasi (JKKSR), Dr. Zuriana Zahrin berkata majlis khatam al-Quran secara mudahnya difahami sebagai satu majlis membaca beberapa surah dalam al-Quran diiringi dengan bacaan doa sebagai tanda kesyukuran kerana berjaya menghabiskan bacaan 30 juzuk al-Quran yang hanya melibatkan orang Islam sahaja.

“Tahniah diucapkan kepada semua Muslimat atas keterlibatan dalam program yang dianjurkan dan berharap agar Muslimat dapat memanfaatkan Ramadan yang masih berbaki ini seterusnya mengekalkan momentum ibadah ke bulan yang seterusnya,” katanya ketika menyampaikan tazkirah di akhir majlis tersebut.

Program ini mendapat sambutan baik dalam kalangan staf dan diharapkan menjadikan membaca Al-Quran sebagai satu amalan sekaligus menyanjungi dan memuliakan Al-Quran itu sendiri.

Para peserta telah diberi pulut kuning, kari ayam sebagai tanda penghargaan dan berharap semua peserta akan terus memaknakan Al Quran dalam kehidupan.

Oleh : Salina Abdullah

Gambar Oleh : Noor Faizzah Dollah