All News

Roadmap usaha tingkatkan pencapaian Pelan Strategik SOG

Image
Image
Image
Image

Oleh Salina Abdullah

Gambar Mohd Mahadi Mohd Razani

BATU FERRINGHI, 7 Mei – Seramai 37 penjawat, pengerusi dan setiausaha jawatankuasa serta staf pentadbiran Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Universiti Utara Malaysia terlibat secara langsung dalam Bengkel Roadmap Pelan Strategik Pusat Pengajian Kerajaan bagi Tahun 2024 di Bayview Beach Resort, bermula 25 hingga 27 April lalu.

Dekan Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Prof. Madya Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid berkata, objektif utama bengkel tersebut ialah memastikan jawatankuasa meningkatkan pencapaian pusat pengajian untuk semua teras dalam Pelan Strategik Fasa Ketiga (2021-2025) kerana penubuhan jawatankuasa adalah pemangkin kepada pencapaian matlamat dan sasaran organisasi khasnya universiti amnya.

Menurutnya, penyediaan hala tuju atau roadmap sangat penting dalam dan membantu pengurusan pusat pengajian menyelaras pelaksanaan program mengikut jawatankuasa serta semangat saling bantu antara jawatankuasa bagi merealisasikan hasrat universiti.

Katanya, penyediaan maklumat berkaitan dengan perancangan serta pelan tindakan yang perlu dilaksanakan oleh jawatankuasa merupakan satu titik tolak paling penting untuk memperkasakan Indeks Petunjuk Utama (KPI) Pelan Strategik SoG untuk pencapaian yang lebih tinggi dan membina organisasi terbaik.

“Selain itu, roadmap itu bertujuan untuk meningkatkan usaha kolaborasi dengan pihak luar.

“Setiap jawatankuasa perlu memastikan perancangan program/aktiviti yang disusun sepanjang tahun dapat dilaksanakan mengikut garis masa dan objektif yang ditetapkan,” katanya.

Bengkel selama 3 hari 2 malam itu telah dikendalikan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Madya Dr. Rozita Arshad dengan kerjasama Jawatankuasa Kebajikan, Keceriaan, Sukan dan Rekreasi (JKKSR).

Pada bengkel tersebut, setiap kumpulan jawatankuasa perlu membuat pembentangan aktiviti mengikut teras yang telah ditetapkan iaitu Teras 1 hingga Teras 6 berdasarkan KPI jawatankuasa itu sendiri.

Bengkel ini bukan sahaja dapat membentuk imej yang lebih positif dan efektif serta meningkatkan semangat kerja berpasukan bagi mencapai objektif organisasi dan dapat mengeratkan lagi silaturrahim diantara staf malah menjadi pencetus kepada penjanaan kewangan pusat pengajian melalui pengemblengan sumber-sumber berpotensi.

Aktiviti lain yang telah dijalankan adalah sukaneka bersama penjawat, pengerusi dan setiausaha serta staf pentadbiran.