All News

KECERDASAN EMOSI FOKUS PEMBENTUKAN JATI DIRI PELAJAR SOG

Image
Image
Image
Image
Image
Image

UUM ONLINE: Bagi meraikan kejayaan pelajar yang berjaya memperoleh pencapaian akademik cemerlang, Jawatankuasa Pembangunan Pelajar dan Alumni SOG, Majlis Perwakilan Pelajar (SOG), Persatuan Pengurusan Pembangunan dan Persatuan Pengurusan Awam telah mengadakan Majlis Kecemerlangan Pelajar SOG dan Anugerah Dekan Sesi A231 di Dewan Seminar SOC, Universiti Utara Malaysia.

Dekan SOG, Prof. Madya Dr. Mohamad Sukeri Khalid berkata, program ini merupakan platform terbaik untuk meraikan kejayaan pelajar yang memperoleh pencapaian akademik Purata Mata Semester (PMS) 3.67 dan ke atas bagi keputusan peperiksaan Semester A231.

Di samping itu, menurutnya, penganjuran program ini juga bertujuan untuk mengiktiraf kecemerlangan tujuh orang pelajar yang memperoleh Purata Mata Kumulatif (PMK) tertinggi bagi setiap ambilan untuk kedua-dua Program Sarjana Muda Pengurusan Awam dan Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan.

“Saya berharap pelajar dapat memberi penekanan terhadap kecerdasan emosi (emotional intelligent) dalam membentuk jati diri. Kecerdasan emosi ini amat penting untuk dimiliki oleh setiap pelajar yang bakal melangkah ke alam pekerjaan, di mana pelajar ini bakal menjadi pemimpin organisasi suatu masa nanti.

“Justeru, pelajar pastinya akan berdepan dengan situasi untuk membuat keputusan berasaskan fikiran yang rasional dan waras. Kejayaan yang dimiliki merupakan satu ujian sama ada pelajar akan terus berbangga diri sehingga lupa untuk mengatur langkah kejayaan seterusnya atau memilih untuk sentiasa merendah diri, berusaha memastikan motivasi diri di tahap terbaik dan membantu rakan-rakan lain untuk sama-sama meraih kejayaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Sr. Dr. Farahiyah Fadzil berkata, penglibatan pelajar sebagai sekretariat program telah berjaya memberikan satu pengalaman bermakna buat mereka.

Menurutnya, pelajar-pelajar ini didedahkan dengan pelbagai kemahiran seperti kemahiran komunikasi dan perundingan, bekerja dalam satu pasukan, belajar untuk membuat keputusan, mengasah kemahiran menyelesaikan masalah serta diberi kebebasan untuk menzahirkan kreativiti di dalam pengendalian majlis.

Majlis Anugerah Dekan SOG pada kali ini turut membawa satu kelainan dengan melibatkan alumni SOG bagi menyuntik semangat kepada pelajar. Antara pengisian adalah sesi Inspirasi: Slot Bersama Alumni merupakan inisiatif pusat pengajian yang memberi idea segar dalam landskap penglibatan alumni dalam penganjuran program di SOG.

Bersempena 40 Tahun UUM, SOG telah menjejaki enam orang alumni dari dua program SOG iaitu Program Pengurusan Pembangunan dan Program Pengurusan Awam bagi menyampaikan motivasi, tips dan panduan kerjaya buat semua pelajar yang hadir.

Antara jawatan terkini yang disandang oleh alumni-alumni tersebut adalah Ketua KWSP Cawangan Melaka, Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Pengurus Pengurusan Harta PKNNS, Regional Sales Head Asset Northern Region (RHB Bank Berhad), Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan PKNK dan Pegawai Eksekutif MODENAS.

Penganjuran program ini diharapkan mampu menyuntik motivasi pelajar-pelajar SOG untuk terus mengekalkan kecemerlangan akademik dan secara tidak langsung menjadi pemangkin inspirasi dan membakar semangat pelajar-pelajar lain agar turut sama berada di dalam kelompok graduan kelas pertama semasa majlis graduasi mereka kelak.