UUM ONLINE: Kuala Lumpur - Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Malaysian Institute Of Property And Facility Managers (MIPFM) dalam mendepani cabaran pembangunan hartanah berstrata di Malaysia.
MoA tersebut dimeterai oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, manakala MIPFM diwakili oleh Presidennya, PMgr. Sr. Ishak Ismail.
Dr. Mohd Foad berkata, MoA ini merangkumi komitmen kedua-dua pihak untuk menjalin hubungan dalam penganjuran Kursus Asas Pengurusan Strata yang akan memberi manfaat kepada industri, warga akademia, staf dan pelajar.
Menurutnya, di antara implikasi positif dari kerjasama ini adalah dari aspek pemindahan ilmu dan pengetahuan, pembangunan bakat dan memacu pertumbuhan ekonomi serta memupuk inovasi.
“UUM amat menghargai peranan MIPFM dalam menggabungkan semangat kerjasama dan komitmen warga profesional dan pengamal swasta dalam mempromosikan peranan pengurus harta, pengurusan hartanah berstrata, pengurusan aset dan kemudahan fasiliti di Malaysia.
“Peranan yang dimainkan oleh pihak MIPFM ini dapat membantu dalam pembangunan pelajar UUM terutamanya memberi pendedahan praktikal kepada pelajar UUM berhubung pengurusan pembangunan hartanah berstrata di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Presiden MIPFM berkata, MoA ini akan memberi fokus untuk berkongsi pengetahuan dan ilmu dalam harta dan fasiliti kepada pelajar.
Menurutnya, selain pelajar, ia juga akan membantu memberi pendedahan kepada pemain industri, ahli akademik dan kalangan B40 tentang penting perinya penjagaan bangunan agar boleh mencapai sasaran persekitaran kondusif.
Katanya, beliau berharap kerjasama ini dapat dilaksanakan segera dalam Oktober depan sebelum memulakan rangkat program strategik lain.
“Selain UUM, kita juga mengadakan MoU dengan IPTA/S yang melihat masa depan kerjaya dalam pengurusan harta dan fasiliti sangat besar.
“Jadi, kita mengambil cabaran agar bangunan mahupun infrastruktur di Malaysia perlu diuruskan agar ianya kekal jadi tarikan dan memberi tambah nilai dari semasa ke semasa,” katanya.
Majlis MoA ini turut disaksikan oleh Dekan Pusat Pengajian Kerajaan, PMgr. Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid, dan Datuk PMgr. Sr. Fidaus Musa dari MIPFM.