All News

SOG DAN UNIVERSITI MATARAM ANJUR PROGRAM KHIDMAT KOMUNITI BERSAMA ANAK ROHINGYA

Image

UUM ONLINE: Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Faculty of Law, Social and Political Science, Universiti of Mataram, Indonesia (UNRAM) telah melaksanakan Program Khidmat Komuniti di Baitul Rahmah Rohingya Learning Centre, Alor Setar, baru-baru ini.

Pengarah program, Prof. Madya Dr. Mohd Na’eim Ajis berkata, matlamat utama program ini adalah bagi menangani pelbagai cabaran yang dihadapi oleh kanak-kanak tanpa kerakyatan terutamanya berkaitan dengan akses kepada pendidikan.

Menurutnya, pendedahan kepentingan pendidikan asas kepada mereka melalui aktiviti pemindahan ilmu merupakan usaha dalam memberikan peluang kepada mereka untuk diterima oleh negara kedua, di samping dapat mengurangkan masalah sosial kanak-kanak.

“Program ini turut memberikan kesedaran kebangsaan dalam kalangan kanak-kanak Rohingya dengan memberikan ilmu dan pemahaman tentang budaya, sejarah dan nilai sivik Malaysia.

“Program khidmat komuniti ini bukan hanya menyasarkan kesan ke atas kanak-kanak Rohingya, tetapi secara tidak langsung memupuk Malaysia ke arah masyarakat yang mementingkan kesaksamaan, inklusif dan menghormati hak serta maruah semua ahli Masyarakat,” katanya.

Turut hadir, Dr. Nor Suzylah Sohaimi daripada SOG dan empat penyelidik daripada Universiti Mataram, Indonesia.