SIK: Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) telah menganjurkan satu program khidmat komuniti melalui Program Pemantapan Profesionalisme dan Mini Karnival dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Resort KEDA Bendang Man selama tiga hari, baru-baru ini.
Dekan SOG, Prof. Madya PMgr. Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid berkata, program ini adalah inisiatif untuk meningkatkan kerjasama jaringan komuniti dan industri bagi memberikan impak kepada pusat pengajian dan universiti.
Menurutnya, program ini telah melibatkan penyertaan pensyarah, kakitangan dan pelajar SOG serta 3 agensi iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
“Program ini juga memberikan ilmu baharu kepada semua peserta yang terlibat melalui pendedahan kaedah dan teknik ‘survival’ di hutan dan keselamatan dalam air oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Selain itu, agensi LPPKN turut memberi input kepada peserta berkenaan dengan kenali fitrah diri melalui kaedah ‘Neuro Linguistik’ yang disampaikan oleh Dr. Mohd Fikri Yazan,” katanya.
Dalam mempupuk kerjasama antara universiti dan komuniti tempatan, pelajar SOG turut dapat menimba pengalaman suasana desa di Kampung KEDA Bendang Man melalui Program Anak Angkat yang berlangsung selama tiga hari itu.
Program ini diakhiri dengan aktiviti gotong royong dan sukaneka bersama penduduk kampung sebelum berangkat pulang.
Usaha sebegini diharapkan dapat dijadikan satu jambatan dalam menghubungkan institusi pengajian dengan penduduk setempat dan memberikan impak positif kepada masyarakat.