All News

SOG PACU AGENDA PENGANTARABANGSAAN PELAJAR

Image
Image

SONGKHLA: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus komited dalam usaha memperkukuh jenama dan kepakaran di peringkat antarabangsa, justeru dalam usaha mendokong aspirasi ini, Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) telah menganjurkan SOG Global Outreach Programme: International Outbound Non-Credit Mobility di Thaksin University (TSU) dan secara atas talian bermula dari 13 hingga 26 Ogos.

Dekan SOG, Prof. Madya PMgr. Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid berkata, program mobiliti ini merupakan sebahagian daripada usaha antarabangsa yang progresif di mana ianya memberi peluang kepada pelajar dan pensyarah untuk memperoleh pengalaman global yang lebih luas melalui pemindahan kepakaran, pengalaman dan perkongsian ilmu.

Menurutnya, SOG melihat ini sebagai platform terbaik untuk pelajar-pelajar dan pensyarah berinteraksi tentang keunikan budaya dengan membina kesedaran dan kebolehan adaptasi budaya melalui pertukaran pengalaman dan perspektif, meningkatkan keterampilan global melalui pengembangan jaringan profesional dan akademik serta memperluas pengetahuan dan pemahaman mereka tentang dunia luar.

“Program ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform perkongsian ilmu tetapi juga sebagai medium kolaborasi strategik yang lebih erat di antara UUM dan TSU.

“Program mobiliti ini adalah sejajar dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkukuhkan hubungan antarabangsa dan memperluas pengalaman pembelajaran pelajar serta staf melalui pertukaran pensyarah dan mobiliti pelajar,” katanya.

Seramai 24 peserta terdiri daripada 20 pelajar dan empat staf telah mengikuti program mobiliti secara fizikal di Thailand pada 13 hingga 15 Ogos lalu.

Pelajar-pelajar yang terpilih adalah dari kalangan 10 Ahli Jawatankuasa Persatuan Pengurusan Awam (BPM) dan 10 Ahli Jawatankuasa Persatuan Pengurusan Pembangunan (BDM) di mana mereka telah berjaya dalam sesi temuduga pemilihan peserta yang diadakan sebelum program ini berlangsung.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Sr. Dr. Farahiyah Fadzil turut meluahkan rasa syukur atas kejayaan penganjuran program ini.

Menurutnya, selain daripada matlamat pencapaian KPI yang disasarkan iaitu T1D3P17: bilangan aktiviti yang dilaksanakan di bawah MoU/MoA dengan institusi antarabangsa serta T6D1C3: peratusan pelajar antarabangsa outbound, program ini juga dilihat telah meningkatkan keyakinan diri pelajar terutamanya dalam aspek komunikasi.

Katanya, secara tidak langsung, program ini menjadi pemangkin untuk pelajar-pelajar mengembangkan pemikiran kritis dalam konteks perbincangan global, di samping meningkatkan kemampuan diri dalam menyampaikan pendapat dengan dinamik di peringkat antarabangsa.

“Melalui agenda pengantarabangsaan ini, SOG berharap untuk terus memperkukuh kehadirannya di pentas antarabangsa serta melahirkan pelajar yang lebih terbuka, berdaya saing dan berfikiran global,” katanya.

Di samping program akademik, peserta juga berpeluang mengunjungi beberapa tempat menarik di sekitar Hatyai dan Songkhla bagi menyelami keindahan budaya dan tarikan pelancongan tempatan. Antara destinasi yang dikunjungi termasuklah Chang Puak Camp, SeaVerse Cafe, Asean Night Market, Folklore Museum, Songkhla Central Mosque dan Samila Beach.

Pengalaman ini memberi peluang kepada peserta untuk meraikan perbezaan budaya tempatan dan memperkayakan perspektif mereka mengenai budaya dan kehidupan di Thailand.

Turut serta, Penasihat Persatuan Pengurusan Awam, Dr Siti Noor Shamilah Misnan dan Pengerusi Program Pengurusan Pembangunan merangkap Penasihat Pengurusan Pembangunan, Mohd. Syahril Said. – Dr. Farahiyah Fadzil