SINTOK: Seramai 130 staf Universiti Utara Malaysia (UUM) didedahkan terhadap kepentingan menjadi pengguna teknologi maklumat yang berhemah bagi mengelak daripada menjadi mangsa jenayah siber.
Ceramah Jenayah Buli Siber : Merdekakah Kita? yang diadakan secara bersemuka di Bilik Mesyuarat Utama, Pusat Pengajian Kerajaan (SSoG) dan atas talian itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Kebajikan, Keceriaan, Sukan dan Rekreasi (JKKSR), SoG, baru-baru ini.
Pengarah Pusat Kokurikulum merangkap Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kerajaan (SoG), Dr. Za’im Ahmad berkata, kes buli siber dalam kalangan masyarakat di negara ini masih tiada penamat yang cukup konkrit.
Menurutnya, akses terhadap media sosial tanpa sekatan dan kurang penekanan penguatkuasaan antara faktor penyumbang ke arah isu berkenaan.
Katanya, impak buli siber ini cukup serius, lebih-lebih lagi melibatkan anak-anak yang masih mentah untuk berkongsi hantaran peribadi secara terbuka di media sosial.
“Lebih membimbangkan, jumlah kes buli siber terutama melibatkan golongan remaja di negara ini dilaporkan semakin meningkat saban tahun.
“Kita juga mahu staf mengambil tahu kesan dan bahaya mengambil gambar, menulis atau menghantar mesej kurang sopan, penyebaran berita tidak sahih atau berbaur fitnah serta kesan buruk akibat mendedahkan maklumat peribadi kepada umum di laman sosial,” katanya.
Menerusi perkongsian itu, staf didedahkan dengan ancaman dan bahaya bakal dihadapi jika kemudahan teknologi sedia ada seperti telefon pintar dan laman media sosial disalah guna.
Institusi pendidikan dan komuniti media sosial juga perlu mengambil pendekatan sendiri dengan kempen kesedaran antibuli yang berterusan.
Ia bukan sahaja memberi tekanan emosi seperti kemurungan dan kebimbangan, malah boleh menyebabkan mangsa dibelenggu perasaan takut, tiada harapan untuk meneruskan hidup sehingga wujud pemikiran negatif untuk membunuh diri. Justeru, jangan biasakan benda yang sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian sehingga meninggalkan titik-titik hitam dalam jiwa kita.
Ibu bapa perlu memahami dan proaktif untuk menghentikan buli siber dengan pelbagai cara termasuk memantau aplikasi media sosial untuk membantu anak-anak tetap selamat, bercakap dengan anak-anak mengenai perasaan mereka, mendorong anak-anak supaya mereka tahu mereka dijaga, berhubungan dengan ibu bapa untuk mengatasi masalah, mengajar kanak-kanak cara yang sesuai untuk bertindak balas, membantu kanak-kanak belajar membela diri, bersikap baik dan menghormati semua orang.
Keseluruhannya, langkah untuk menangani buli siber ini memerlukan pendekatan holistik yang melibatkan pendidikan, sokongan emosi, penguat kuasaan undang-undang dan kerjasama aktif dari semua pihak dalam masyarakat. – Salina Abdullah