SINTOK: Sebagai meneruskan amalan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA), Jawatankuasa EKSA Pusat Pengajian Kerajaan (SoG) telah mengadakan Program Minggu Gerak Gempur EKSA yang melibatkan staf pentadbiran dan akademik di sini, baru-baru ini.
Pegawai Tadbir SoG selaku Pengerusi EKSA SoG, Zairi Afandi Ishak berkata, objektif utama program ini diadakan adalah untuk memastikan persekitaran tempat kerja yang bersih, kemas dan selamat serta mengekalkan keceriaan persekitaran kondusif di pusat pengajian.
Selain itu, menurutnya, program ini diadakan sebagai persediaan akhir bagi Pengauditan Dalaman EKSA UUM Siri 1 pada 9 September ini di Zon 3.
Katanya, aktiviti gotong-royong memberi lebih tumpuan kepada kemas kini maklumat iaitu memastikan semua poster, hebahan, memo dan informasi di kawasan pejabat adalah terkini dan relevan di Sudut EKSA Pusat Pengajian Kerajaan, seluruh bangunan dan persekitaran pejabat agar kelihatan bersih, teratur dan selamat.
“Terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh semua staf dan kami amat menghargai dedikasi dan komitmen semua dalam menjayakan gotong-royong ini.
“Dengan usaha bersama, diharapkan dapat meningkatkan kualiti persekitaran kerja dan mewujudkan suasana kerja yang lebih kondusif dan produktif,” katanya. – Salina Abdullah