All News

INSPIRASI DARI PAKAR SPR: BAGAIMANA PILIHAN RAYA MAMPU MENCORAK MASA DEPAN MALAYSIA

Image

UUM Sintok- Pada 8 Oktober 2024, Public Sector Talk Series (PSTS) bertajuk "Pemerintahan Mampan: Memberdayakan Komuniti melalui Penglibatan dalam Pilihan Raya" telah diadakan secara dalam talian melalui platform Webex. Program ini berlangsung dari jam 9 pagi hingga 11 pagi, dengan penyertaan lebih 100 pelajar dari subjek Perlembagaan Malaysia.

Acara ini menampilkan Encik Nik Aminudin bin Nik Shahar Shah, Ketua Program (Pengurusan Latihan) dari Akademi Pilihan Raya Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, sebagai penceramah utama. Dalam pembentangannya, beliau berkongsi pandangan tentang kepentingan penglibatan masyarakat dalam proses pilihan raya untuk memastikan pemerintahan yang mampan. Encik Nik Aminudin juga menekankan peranan anak muda dalam mempengaruhi perubahan politik dan sosial melalui penyertaan aktif dalam proses demokrasi.

Para pelajar berpeluang memahami dengan lebih mendalam bagaimana penglibatan mereka dalam pilihan raya mampu memperkukuhkan demokrasi dan menggalakkan pembangunan komuniti yang lebih inklusif. Sesi ini disambut baik oleh para peserta yang mengambil peluang untuk bertanya soalan dan berinteraksi secara langsung dengan penceramah. Program yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Seminar dan Latihan 2024 ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai peranan kritikal mereka dalam menentukan hala tuju negara.

Dengan penyertaan yang memberangsangkan, program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar tentang tanggungjawab sebagai pengundi, malah membuka mata mereka mengenai kuasa yang mereka miliki untuk mencipta masa depan yang lebih baik melalui pilihan raya.