All News

Pusat Pengajian Kerajaan Himpun CUIC dan Penghulu Mukim Kubang Pasu bagi Memperkasa Peranan Universiti Sebagai Pemangkin Kolaborasi Komuniti dan Industri

Image
Image
Image
Image

Sintok, 22 Oktober 2024 – Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), telah mengadakan program Public Sector Talk Series dengan tema "Peranan Universiti Sebagai Pemangkin Kolaborasi Komuniti dan Industri", yang mempertemukan barisan akademik dan tokoh masyarakat, khususnya penghulu mukim dari daerah Kubang Pasu. Program ini berlangsung di Dewan Seminar B, Pusat Konvensyen UUM, dan dihadiri oleh lebih 200 peserta.

Kehadiran empat penghulu yang juga alumni UUM mencuri perhatian, iaitu Encik Muhammad Akmal Ismail (Mukim Malau, alumni UUM 2013), Encik Mohamad Amirul Amir Bin Ishak (Mukim Gelong, alumni UUM 2011), Encik Azahari Bin Shafie (Mukim Hosba/Kubang Pasu, alumni UUM 1998), dan Encik Muhammad Effandy Bin Md Arshad (Mukim Jeram, alumni UUM 2009). Kehadiran mereka memperkukuh hubungan antara komuniti tempatan dan universiti, menunjukkan komitmen terhadap pembangunan kolaboratif. Turut hadir adalah Encik Sazali Shafie (Mukim Sanglang), En. Mohamad Helmey Bin MD Saad (Mukim Ah), dan Encik Muhamad Riduan bin Ismail (Mukim Temin).

Program ini dipengerusikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Azlizan Talib dengan menampilkan penceramah seperti Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam dari CUIC, yang berkongsi kepakaran mengenai peluang kolaborasi industri-universiti, dan Encik Muhammad Akmal bin Ismail, yang menekankan peranan penghulu dalam memperkuatkan sinergi antara masyarakat dan universiti.

Dr. Sharif Shafirun Sharif Ali, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa UUM, menyampaikan cenderamata kepada para penceramah, sambil disaksikan oleh PM Dr. Rozita Arshad, Sr. Dr. Farahiyah Fadzil, dan Encik Syahril Saad, yang memperlihatkan dedikasi mereka terhadap usaha memperkukuhkan kolaborasi ini.

Seorang pelajar yang hadir, Nur Nadia Farhana Binti Nor Jamil, menyatakan bahawa program seperti ini "memberikan perspektif baharu tentang bagaimana kerjasama universiti dan komuniti dapat diintegrasikan untuk manfaat bersama, sekaligus membuka ruang jaringan untuk masa depan kerjaya."

UUM bersama CUIC dan para penghulu mukim Kubang Pasu telah membuktikan bahawa hubungan erat antara universiti dan komuniti mampu memacu pembangunan bersama yang inklusif dan dinamik.