All News

PROGRAM SULAM GMJTK 3113 PENTADBIRAN ALAM SEKITAR: MEMBINA KESEJAHTERAAN RAKYAT (MEKAR) MENYULAM KESEJAHTERAAN BERSAMA ANJURAN PUSAT PENGAJIAN KERAJAAN (SOG), UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

Image
Image
Image
Image
Image

21 November 2024, Changlun, Kedah - Program SULAM dan MEKAR telah mencipta pengalaman bermakna apabila teori dan amalan bersatu dalam satu inisiatif khidmat komuniti di Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah, yang telah melibatkan murid-murid Tahun Lima. Program ini menjadi platform bagi pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam kursus GMJTK3113 Pentadbiran Alam Sekitar. Kehadiran seramai 69 pelajar UUM disambut mesra oleh para guru, diketuai oleh Guru Besar, Tuan Mohd Nizam Saidin. Semangat kolaborasi ini disemarakkan lagi dengan perasmian program oleh Profesor Madya PMgr Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid, Dekan Pusat Pengajian Kerajaan. Program ini bukan sahaja berjaya mengintegrasikan khidmat komuniti dan pembelajaran teori, tetapi juga memberikan peluang kepada pelajar untuk mencipta impak positif melalui pengalaman dunia sebenar.

Bak kata pepatah, “Bersatu Teguh, Bercerai Roboh” sinonim pepatah ini dengan aktiviti yang telah dilakukan oleh pelajar di mana pelajar perlu bersatu padu di dalam kumpulan bagi menyelesaikan permasalahan yang dihadapi bersama-sama murid tahun lima sekolah tersebut. Program SULAM dan MEKAR berfokuskan kepada pemberian ilmu mengenai alam sekitar agar murid-murid tahun lima sekolah tersebut dapat menambah ilmu pengetahuan mengenai alam sekitar yang sangat penting dalam kehidupan masyarakat kini dan perlu dipupuk daripada awal lagi. Program SULAM dan MEKAR ini sangat penting bagi mendidik pelajar-pelajar UUM cakna terhadap isu semasa berkaitan masyarakat dan komuniti kini.

Program SULAM dan MEKAR diteruskan dengan penuh semangat apabila pelajar-pelajar UUM dibahagikan kepada 12 kumpulan, setiap kumpulan berganding bahu bersama murid Tahun Lima. Aktiviti yang dijalankan oleh setiap kumpulan mempamerkan kreativiti dan keunikan masing-masing, menjadikan pengalaman ini lebih bermakna bagi semua peserta. Program dimulakan dengan slot perasmian program yang meriah. Perarakan masuk Dekan Pusat Pengajian Kerajaan, Guru Besar, Penyelaras Subjek Dr Wahida Ayob dan tetamu kehormat lain, termasuk pensyarah UUM dan guru-guru SK Dato’ Wan Kemara, diiringi oleh persembahan irama muzik tradisional Melayu oleh pasukan Muzik Kontemporari SKDWK, mencipta suasana yang penuh adat dan budaya. Kemuncak majlis perasmian adalah ucapan berinspirasi daripada Profesor Madya PMgr Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid, Dekan Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) yang seterusnya memotong riben sebagai gimik perasmian yang memaparkan streamer menarik telah menyemarakkan lagi semangat para peserta untuk menjayakan program di sekolah tersebut.

Slot kedua adalah sesi interaktif di mana murid-murid, yang telah dibahagikan kepada 12 kumpulan bekerjasama untuk menjawab kuiz menarik berkaitan kitar semula. Kuiz ini direka khas untuk menguji dan memperluaskan pengetahuan am mereka mengenai konsep kitar semula serta kepentingannya dalam kehidupan seharian. Melalui aktiviti ini, murid-murid bukan sahaja dapat belajar dengan lebih mendalam tentang amalan mesra alam tetapi juga berpeluang mengasah kemahiran kerja berpasukan dan daya saing secara sihat dalam suasana yang menyeronokkan dan penuh pembelajaran.

Slot ketiga diteruskan dengan sesi perkongsian ilmu yang sangat informatif dan menarik, disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Hamidi Ismail. Sesi ini memfokuskan kepada topik pengasingan sisa pepejal dan aktiviti kitar semula sebagai satu langkah penting dalam usaha menjaga kelestarian alam sekitar. Slot perkongsian ilmu ini bukan sahaja berkongsi fakta dan maklumat terkini mengenai pengurusan sisa pepejal dan aktiviti kitar semula tetapi juga memberi penerangan mendalam tentang bagaimana amalan ini boleh membantu mengurangkan pencemaran dan memelihara sumber semula jadi. Pendekatan yang interaktif dan penuh inspirasi ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran para peserta tentang kepentingan pengasingan sisa pepejal dan aktiviti kitar semula tetapi juga mendorong mereka untuk mempraktikkan amalan ini dalam kehidupan seharian demi manfaat generasi kini dan masa hadapan.

Slot keempat menjadi detik yang paling dinanti-nantikan,apabila murid-murid Tahun Lima berganding bahu dengan pelajar-pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam suasana penuh keceriaan. Dalam sesi ini, pelbagai aktiviti interaktif dan kreatif yang direka khas oleh pelajar UUM berjaya mencuri tumpuan. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menghiburkan tetapi turut meningkatkan kesedaran murid-murid terhadap kepentingan kitar semula, menjadikannya pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna. Aktiviti-aktiviti tersebut bukan sahaja kreatif, malah disusun dengan teliti untuk memastikan pembelajaran mengenai kitar semula dapat disampaikan dengan dan mudah difahami. Murid-murid berpeluang mempelajari konsep kitar semula melalui pendekatan penglibatan secara langsung menggunakan bahan-bahan yang disediakan. Melalui cara ini, mereka dapat melihat dengan lebih jelas bagaimana aktiviti kitar semula berfungsi serta memahami kepentingannya dalam menjaga kelestarian alam sekitar. Suasana penuh ceria dan interaktif sepanjang slot ini telah berjaya meninggalkan impak yang mendalam kepada para murid, menjadikan pembelajaran mereka bukan sekadar teori tetapi juga pengalaman yang menyeronokkan dan bermakna.

Program SULAM dan MEKAR ini mencapai kemuncaknya dengan berlangsungnya majlis penutup yang penuh bermakna. Majlis tersebut ditutup dengan ucapan penggulungan yang disampaikan oleh Tuan Mohd Nizam Saidin, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara, yang menzahirkan penghargaan dan rasa bangga terhadap semua pihak yang telah terlibat. Dalam ucapannya, beliau menyatakan rasa syukur atas kerjasama erat yang ditunjukkan oleh semua pihak sepanjang program ini dijalankan. Pihak sekolah turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pensyarah dan para pelajar daripada Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM) atas dedikasi dan komitmen mereka dalam merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti menarik dan bermakna. Ucapan terima kasih yang sama juga diberikan kepada guru-guru dan murid-murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara, yang telah menunjukkan semangat yang luar biasa dan berusaha keras menjayakan program ini.

Majlis penutup ini bukan sahaja menjadi simbolik kepada tamatnya program, tetapi juga mencerminkan kejayaan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan sekolah dalam membentuk generasi muda yang lebih peka terhadap ilmu kitar semula dan nilai-nilai murni dalam kehidupan.