Sintok, 19 November 2024 – Pusat Pengajian Kerajaan (School of Government), Universiti Utara Malaysia, telah menganjurkan Bengkel Pemantapan Bidang Kepakaran Pensyarah SOG pada Selasa, 19 November 2024, bertempat di Bilik Seminar SOG. Bengkel bermula pada jam 2.30 petang ini dirancang khusus untuk meningkatkan kemahiran dan kepakaran akademik dalam kalangan pensyarah di pusat pengajian tersebut.
Bengkel ini menampilkan Prof. TPr. Dr. Dani Bin Salleh sebagai penceramah utama, seorang tokoh berpengalaman dalam bidang akademik dan kepakaran profesional. Program ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Seminar dan Latihan SOG dengan fokus untuk memupuk penguasaan dalam bidang akademik serta mempersiapkan pensyarah muda dan baharu dalam menempuh cabaran kerjaya akademik.
Majlis ini dimulakan dengan aluan dari Dekan, Pusat Pengajian Kerajaan, Prof. Madya. PMgr Dr. Mohamad Sukeri Khalid yang menekankan kemestian untuk para pensyarah jelas mengenai bidang kepakaran mereka kerena perkara inilah yang akan menjadi instrument utama dalam kriteria kenaikan pangkat dan halatuju perjalanan karier sebagai ahli akademik.
Menurut salah seorang dari peserta, Dr. Zarina Binti Zulkifli, bengkel ini telah membuka mata beliau akan perjalanan sebagai seorang ahli akademik. Beliau juga teruja bila diberi pendedahan untuk memastikan setiap penglibatan dalam penyelidikan mahupun penerbitan perlulah selari dengan kata kunci yang kena dengan bidang kepakaran.
Selain beliau, ramai pensyarah muda dan baharu turut hadir bagi memastikan mereka dapat memanfaatkan peluang pembelajaran secara langsung daripada pakar yang berwibawa.
Bengkel ini juga selaras dengan usaha UUM untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-4, iaitu pendidikan berkualiti, dalam memastikan institusi akademik terus melahirkan tenaga pakar yang berkualiti tinggi.
Penganjuran program ini menunjukkan komitmen Pusat Pengajian Kerajaan dalam meningkatkan daya saing akademik universiti serta menyokong visi UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka.