All News

INOVASI MASAKAN WARISAN MASUK FASA UJI RASA DAN PEMBANGUNAN PRODUK

Image

Berita dan gambar Dr. Rosfaraliza Azura Ramli

PADANG TERAP, 4 Disember 2024: Projek RASA PADANG TERAP: Inovasi Masakan Warisan di bawah Geran SIGS Universiti Utara Malaysia (UUM) kini telah memasuki fasa penting iaitu uji rasa dan pembangunan produk.

Inisiatif ini yang menggabungkan pendekatan pembangunan komuniti berasaskan aset (Asset-Based Community Development – ABCD) dilaksanakan dengan kerjasama erat komuniti dari tiga kampung iaitu Kampung Kubang Palas, Kampung Keda Bukit Ular dan Kampung Seberang Padang Sanai.

Projek ini diketuai oleh Dr. Adi Syahid Mohd Ali bersama ahli projek, Prof. Madya Dr. Zainal Md Zan dan Dr. Rosfaraliza Azura Ramli dari Pusat Pengajian Kerajaan serta Norhafizi Nordin dan Umme Umaimah Amin dari Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara.

Dr. Adi Syahid berkata, usaha ini bertujuan menginovasikan resepi tradisional gulai rias batang pisang menjadi produk komersial.

Menurutnya, dalam fasa ini, resepi tradisional komuniti diuji secara menyeluruh untuk memastikan kualiti, rasa, dan kesesuaian produk dengan pasaran moden.

“Bengkel uji rasa melibatkan komuniti setempat, usahawan tempatan, dan pakar makanan untuk mendapatkan maklum balas serta mencadangkan penambahbaikan.

“Fasa ini adalah langkah penting untuk memastikan masakan warisan dapat diterima pasaran,” katanya.

Beliau berkata, uji rasa adalah platform untuk menyempurnakan produk sambil mengekalkan identiti budaya yang terkandung dalam resepi ini.

Katanya, dengan pembangunan produk seperti pek makanan sedia masak, beliau berharap dapat memperkenalkan gulai rias batang pisang ke pasaran yang lebih luas, sekaligus membuka peluang ekonomi untuk komuniti.

Sementara itu, Dr. Zainal berkata, pendekatan pembangunan komuniti berasaskan aset membolehkan komuniti menggunakan kekuatan dan kemahiran mereka untuk menjana pendapatan.

“Melalui program ini, komuniti bukan sahaja dilibatkan dalam pembangunan produk tetapi juga diberi pemahaman tentang strategi pemasaran dan teknik pembungkusan moden, yang penting untuk daya saing produk di pasaran.

“Projek ini kini fokus kepada pembangunan produk yang melibatkan inovasi dalam pembungkusan dan penjenamaan. Pelbagai bentuk produk sedang dirancang, termasuk pek makanan sedia masak dan pes masakan warisan yang memudahkan pengguna moden,” katanya.

Projek RASA PADANG TERAP akan diteruskan dengan aktiviti kajian pasaran untuk memastikan penerimaan produk oleh pengguna serta kesinambungan usaha ini sebagai pemacu ekonomi komuniti Padang Terap.

Usaha ini bukan sahaja melestarikan warisan budaya tetapi juga mencerminkan potensi besar masakan tradisional sebagai produk ekonomi unik negeri Kedah.