All News

LOCAL GOVERNMENT SEMINAR: BEST PRACTICES IMPLEMENTED BY LOCAL GOVERNMENTS IN MALAYSIA AND JAPAN

Image
Image
Image
Image
Image

UUM ONLINE: Institut Kajian Kerajaan Tempatan, Pusat Pengajian Kerajaan (iLGS-SOG), UUM dengan kerjasama Japan Council Of Local Authorities For International Relations (J.CLAIR), Singapore telah berjaya menganjurkan Local Government Seminar: Best Practices Implemented By Local Governments In Malaysia And Japan secara dalam talian pada 4 Disember 2024. Seminar ini diadakan melalui platform Webex dan berlangsung selama tiga jam.

Majlis ini dimulakan dengan ucapan aluan oleh Dr. Sharif Shofirun Sharif Ali, Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik, Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), UUM, diikuti oleh ucapan wakil J.CLAIR Singapura, Mr. Nagata Takuya, Senior Deputy Director. Seminar ini menampilkan pembentangan daripada tokoh-tokoh hebat dalam bidang kerajaan tempatan, Miss Otsuji Marino, Mr. Nishimoto Ryotaro, dan Mr. Sakamoto Tomohiko, yang merupakan Deputy Director of J.CLAIR Singapore, serta Professor TPr. Dr Dani Salleh, Pengarah iLGS-SOG, UUM.

Objektif utama seminar ini adalah membentuk international partnerships khususnya dalam bidang pengurusan dan pembangunan kerajaan tempatan. Seminar ini juga ingin mendedahkan kepada kakitangan dan para pelajar UUM terutamanya kepada sistem kerajaan tempatan di negara Jepun dalam usaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran. Malah, seminar ini juga dilaksanakan bagi memenuhi KPI Pusat Pengajian Kerajaan, (SOG), UUM.

Sesi perkongsian dimulai dengan Miss Otsuji Marino yang bertajuk Community Engagement for Water Conservation in Tokyo. Tokyo, dengan populasi lebih 14 juta, pernah menghadapi kekurangan air kritikal pada tahun 1960-an, termasuk kemarau Olimpik 1964. Untuk mengatasi isu ini, Tokyo Metropolitan Government (TMG) melaksanakan langkah inovatif dengan mewujudkan Smart Water Meter Trial Implementation Project. TMG menyasarkan pemasangan 130,000 meter menjelang 2024 dan dijangka pemasangan sepenuhnya menjelang akhir 2030-an. Antara inisiatif yang telah dilakukan menurut beliau adalah melaksanakan program kesedaran SUIDO Caravan, yang merangkumi ceramah di sekolah dan bengkel komuniti, serta The Waterworks Supporter System. The Waterworks Supporter System adalah bertujuan untuk meningkatkan pemahaman dan pengetahuan pelanggan tentang proses-proses kerja air dan melalui platform ini pelanggan dapat memberi maklumbalas dan pandangan kepada TMG dalam membuat penambahbaikan. Malah, dalam aspek pendidikan, TMG menekankan pembelajaran bersepadu melalui bahan pendidikan untuk pelajar 4th Grade, pertandingan poster dan esei, serta lawatan ke muzium dan fasiliti berkaitan air. Beliau menegaskan bahawa usaha ini bertujuan meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai kepentingan pemuliharaan air sebagai aset penting negara.

Seterusnya adalah sesi perkongsian daripada Mr. Nishimoto Ryotaro yang bertajuk Initiatives of Digital Hub to Resolve Regional Issues in Tochigi. Tochigi, yang terkenal dengan produk seperti strawberi dan destinasi pelancongan seperti Kuil Rinnoji dan Sano Ramen. Namun begitu, kawasan Tochigi berdepan dengan cabaran yang besar iaitu penurunan populasi, keperluan perkhidmatan awam yang semakin meningkat, serta kekurangan tenaga kerja. Tochigi Digital Hu' merupakan sebuah platform inovatif yang menggunakan teknologi digital untuk menangani isu-isu sosial di Tochigi Prefecture. Platform ini membolehkan rakyat dan organisasi mendaftarkan masalah mereka, membentuk pasukan penyelesaian, melaksanakan projek perintis, dan memperluas idea. Antara kejayaan yang telah dicapai ialah dapat mengurus kesibukan di Restoran Sano Ramen. Platform ini telah menggunakan peta digital untuk memaparkan tahap kesibukan restoran bagi menggalakkan pelancong meneroka kawasan lain. Malah, menurut beliau platform ini telah membantu untuk mengurangkan kerosakan perikanan oleh burung pemangsa dengan menggunakan data GPS dan aplikasi LINE untuk mengenal pasti lokasi burung dan mengurangkan kerugian. Inisiatif ini telah memberikan kejayaan kepada pihak kerajaan tempatan kerana telah menyediakan ruang perbincangan dan menggalakkan kerjasama serta meningkatkan tadbir urus yang berkesan dan cekap.

Mr Sakamoto Tomohiko pula mengetengahkan tajuk Initiatives to Ensure Election Integrity by Ichinomiya City melalui pendekatan pendidikan dan teknologi. Ichinomiya City, terkenal dengan Festival Tanabata yang menjadi salah satu daripada tiga festival terbesar di Jepun. Antara cabarannya adalah peratusan pengundi muda yang rendah dan kadar undi rosak yang tinggi akibat kesilapan pada kertas undi. Oleh itu, sebagai langkah penyelesaian, pendidikan awal mengenai pilihan raya diperkenalkan di sekolah rendah melalui simulasi pilihan raya yang menggunakan kertas undi dan peti undi sebenar. Pendekatan ini bertujuan meningkatkan minat pelajar terhadap proses pilihan raya. Selain itu, teknologi turut dimanfaatkan melalui pelaksanaan Voting and Vote Counting Methods dengan pemasangan mesin automatik yang mampu membaca, menyusun, dan mengira sehingga 1,600 kertas undi seminit. Pendekatan ini bukan sahaja mempercepatkan proses pengiraan undi, malah menjimatkan masa dan tenaga kerja, sekali gus mengurangkan beban pengiraan manual. Dengan inisiatif ini, Ichinomiya City berjaya meningkatkan kecekapan proses pilihan raya dan menyemai kesedaran dalam kalangan generasi muda tentang kepentingan penyertaan mereka dalam pilihan raya.

Setelah selesai sesi perkongsian daripada pihak J. CLAIR, Singapore, beberapa soalan telah dikemukakan oleh pelajar dan pensyarah. Soalan tersebut diperjelaskan oleh pembentang-pembentang, di antaranya berkaitan penggunaan teknologi secara strategik dalam mengatasi masalah yang berlaku dalam masyarakat, proses dalam pengurusan antara kerajaan tempatan dan masyarakat di Jepun, bagaimana proses yang digunakan dalam memberi kesedaran kepada kanak-kanak dan masyarakat, proses pembekalan air ke kawasan pedalaman, penglibatan masyarakat dalam pembuatan keputusan di peringkat kerajaan, proses pilihan raya yang dijalankan, strategi yang boleh dilakukan untuk menarik pengundi muda dalam mengundi, dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh bagi mengatasi masalah yang berlaku.

Seterusnya majlis diteruskan dengan perkongsian daripada Professor TPr. Dr Dani Salleh mengenai Community Engagement and Participatory Planning: Best Practices from Malaysia. Beliau telah menekankan bahawa penglibatan komuniti yang aktif memainkan peranan penting dalam memperkukuh tadbir urus demokrasi dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan tempatan. Inisiatif ini memastikan suara penduduk di dengar, membina perpaduan sosial, dan meningkatkan keupayaan komuniti untuk menangani cabaran. Malah, penyertaan penduduk dalam proses perancangan membolehkan kerajaan tempatan merangka dasar yang lebih mampan dan inklusif, memastikan pembangunan memenuhi keperluan semua pihak. Pendekatan ini bukan sahaja menyokong pembangunan mampan, tetapi juga memperkukuhkan hubungan antara komuniti dan kerajaan.

Dalam perkongsian Professor TPr. Dr Dani Salleh juga telah mengariskan beberapa inisiatif yang telah dilaksanakan di Malaysia antaranya Local Agenda 21 (LA21) yang menggalakkan kerjasama pelbagai pihak dalam perancangan bandar dan kemampanan. Belanjawan Penyertaan di Subang Jaya iaitu Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah memperkenalkan konsep belanjawan penyertaan untuk melibatkan penduduk dalam membuat keputusan mengenai peruntukan dana majlis perbandaran. Inisiatif ini membolehkan masyarakat menyuarakan keutamaan mereka dan memastikan dana digunakan dengan lebih cekap untuk keperluan setempat. Malah, Program Kampungku (My Village) merupakan inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar ini bertujuan memperkasakan kawasan luar bandar melalui penyertaan aktif komuniti dalam pelbagai aktiviti pembangunan. Program ini memainkan peranan penting dalam menghidupkan semula kawasan luar bandar dan meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.

Namun, menurut Professor TPr. Dr. Dani Salleh, kerajaan tempatan di Malaysia masih berdepan beberapa cabaran utama seperti kekangan sumber, halangan birokrasi, kurangnya kesedaran masyarakat, serta defisit kepercayaan terhadap pihak berkuasa. Untuk mengatasi cabaran ini, beliau mencadangkan beberapa langkah yang boleh dilaksanakan, antaranya meningkatkan bajet untuk inisiatif penyertaan, menyederhanakan proses birokrasi, serta memperluaskan penggunaan teknologi bagi memudahkan penglibatan masyarakat. Sebagai inspirasi, beliau turut mengetengahkan contoh amalan terbaik dari negara lain iaitu Makmal Inovasi Awam di Denmark, yang mempromosikan inovasi dalam sektor awam, serta Belanjawan Penyertaan di Brazil, yang membolehkan rakyat terlibat secara langsung dalam pengurusan dana kerajaan tempatan. Amalan-amalan ini, menurut beliau, boleh dijadikan contoh untuk memperbaiki sistem di Malaysia. Beliau juga menekankan pentingnya kolaborasi antara Malaysia dan Jepun dalam membangunkan rangka kerja yang berfokus pada penglibatan generasi muda dan pemeliharaan budaya dalam perancangan bandar. Pada akhir perkongsian beliau, beliau menegaskan bahawa penglibatan komuniti adalah kunci kepada pembangunan mampan dan inklusif. Dengan mendengar suara masyarakat, ia dapat memastikan keutamaan mereka menjadi asas dalam perancangan masa depan negara yang lebih lestari.

Program yang mengambil masa tiga jam ini diakhiri ucapan penutup oleh Mr. Nagata Takuya, Senior Deputy Director, Japan Council of Local Authorities for International Relations (J. CLAIR), Singapore. Kenangan seminar ini diabadikan dalam sesi bergambar secara dalam talian bersama seluruh peserta yang melibatkan 26 pensyarah pelbagai pusat pengajian dan 162 pelajar dari pelbagai program pengajian.

Oleh: Dr. Mariah Binti Darus @ Mat Junus

Gambar Oleh: SOG