All News

SPRM KONGSI AMALAN PENCEGAHAN RASUAH DALAM PERKHIDMATAN AWAM

Image
Image
Image
Image
Image
Image
Image

SINTOK, 14 Disember 2024: Lebih 1600 peserta telah menghadiri Wacana Kepentingan Integriti dan Pencegahan Rasuah dalam Perkhidmatan Awam yang dianjurkan oleh Kursus Integriti dan Anti Rasuah (MPU1062), Pusat pengajian Kerajaan (SOG) bersama Pusat Kokurikulum dan Jawatankuasa Seminar dan Latihan di Dewan Kuliah Gugusan 5/1 hingga 5/8 pada 10 Disember lalu.

Penyelaras Kursus Integriti dan Anti Rasuah (MPU1062), Noor Faizzah Dollah berkata, sesi yang disampaikan oleh dua wakil daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Pengarah SPRM Kedah, Datuk Ahmad Nizam Ismail dan Ketua Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Kedah, Syahrul Khuzaini Amiruddin itu bertujuan untuk mengukuhkan nilai-nilai integriti dalam kalangan penjawat awam dan pelajar serta membekalkan mereka dengan pengetahuan dan kesedaran mengenai amalan rasuah.

Ahmad Nizam juga telah menekankan kepentingan untuk melaporkan tentang rasuah yang berlaku bagi mengelakkan kesan yang lebih buruk kepada sesebuah institusi mahupun negara.

Beliau juga mengulas lanjut berkenaan Akta SPRM 2009, Akta Perlindungan Saksi 2009 dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 yang bertujuan untuk memberi perlindungan kepada pemberi maklumat rasuah.

“Maklumat yang lengkap berkaitan rasuah boleh dilaporkan kepada SPRM dan akta-akta ini berperanan untuk menggalakkan pendedahan maklumat mengenai jenayah rasuah atau salah laku lain.

“Akta ini akan memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat daripada sebarang tindakan yang boleh memudaratkan akibat pendedahan yang dilakukan,” katanya.

Beliau juga memberi penjelasan lanjut mengenai The National Anti-Corruption Strategy 2024-2028 yang menggariskan tentang strategi kritikal yang memfokuskan aspek integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam sektor awam.

Pada sesi kedua, pesanan yang sama mengenai kepentingan membanteras rasuah terus disentuh oleh panel kedua, Syahrul Khuzaini Amiruddin.

Sebagai Ketua Unit Pendidikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, beliau mengemukakan pandangan yang bernas dan mendalam dalam sesi syarahannya bertajuk ‘5 Kesalahan Utama Dalam Rasuah’.

Beliau merangkumkan lima kesalahan utama dalam rasuah yang sering berlaku, antaranya adalah penyalahgunaan kuasa, menerima atau memberi rasuah dalam bentuk apa pun, penipuan dalam mengemukakan tuntutan palsu dan suapan yang sering dikaitkan dengan rasuah.

Beliau menerangkan dengan terperinci setiap kesalahan ini dan memberi contoh kes-kes yang berlaku di sekitar masyarakat untuk meningkatkan kesedaran para pelajar serta penjawat awam mengenai bahaya rasuah.

Kupasan beliau dibuat berdasarkan pengalaman dan pengetahuan dalam menangani isu rasuah untuk memberi pemahaman yang lebih jelas kepada pelajar serta penjawat awam tentang kesalahan-kesalahan yang sering berlaku dalam amalan rasuah. Dalam syarahannya, beliau menekankan bahawa rasuah bukan hanya soal pemberian atau penerimaan suapan, tetapi juga melibatkan pelbagai bentuk salah laku yang memberi kesan negatif terhadap masyarakat, ekonomi, dan negara secara keseluruhan.

Selain itu, beliau menyeru agar semua pihak, sama ada sektor awam, swasta, mahupun masyarakat umum, terus melibatkan diri dalam usaha membanteras rasuah melalui saluran yang sah dan berkesan. Salah satu aspek yang ditekankan ialah pentingnya melaporkan sebarang bentuk rasuah dan salah laku kepada pihak berkuasa dengan menggunakan saluran yang telah disediakan seperti melalui SPRM atau aduan secara dalam talian. Beliau juga berkongsi tentang beberapa contoh situasi yang melibatkan rasuah dalam pelbagai jenis jabatan dalam sektor awam.

Beliau menegaskan bahawa pengiktirafan yang diberikan kepada mereka yang menolak rasuah adalah penting dalam usaha mewujudkan masyarakat yang bebas daripada gejala buruk ini. Sejak tahun 2012, satu garis panduan pengiktirafan telah diperkenalkan khusus untuk penjawat awam yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap pencegahan rasuah.

Syahrul menjelaskan bahawa pengiktirafan ini diberikan sebagai tanda penghargaan terhadap individu atau penjawat awam yang sentiasa menegakkan integriti dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti rasuah. Sejak pengenalan garis panduan pengiktirafan ini, sejumlah 514 penjawat awam dari 31 agensi yang berbeza telah menerima penghargaan kerana keberanian mereka dalam melaporkan kes rasuah yang berlaku dalam organisasi mereka. Ini menunjukkan bahawa semakin ramai penjawat awam yang berani tampil ke hadapan dan melaporkan sebarang salah laku tanpa rasa takut atau teragak-agak, sekali gus membantu pihak berkuasa dalam usaha membanteras rasuah di sektor awam.

Sebagai tanda penghargaan, jumlah ganjaran yang telah diberikan sehingga 31 Disember 2023 kepada mereka yang melapor kes rasuah ini adalah sebanyak RM1,035,363.84. Ganjaran ini bukan sahaja bertindak sebagai insentif kewangan, tetapi juga sebagai pengiktirafan moral bagi menghargai keberanian dan integriti penjawat awam yang bertindak dengan jujur demi kebaikan negara. Dengan adanya ganjaran seperti ini, ia memberi dorongan kepada lebih ramai individu untuk tidak teragak-agak melaporkan sebarang bentuk rasuah yang mereka ketahui, sekali gus memperkukuhkan sistem pencegahan rasuah dalam sektor awam.

Inisiatif ini juga membuktikan bahawa kerajaan melalui SPRM amat menghargai tindakan yang diambil oleh penjawat awam yang menunjukkan komitmen untuk melawan rasuah dan menyokong dasar kerajaan yang berlandaskan integriti. Oleh itu, pengiktirafan ini bukan sahaja penting dalam memotivasi penjawat awam, tetapi juga menunjukkan bahawa tindakan mereka memainkan peranan yang sangat besar dalam usaha untuk menjadikan negara ini bebas daripada rasuah dan salah laku.