SINTOK, 18 Disember 2024: Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan sesi dialog menarik bertajuk “Malaysia Madani: Era Pasca Normal & Kepimpinan Mahasiswa” pada 11 Disember lalu di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen UUM.
Sesi dialog ini telah menarik perhatian pelajar dari program Sarjana Muda Pengurusan Awam (BPM) dan Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan (BDM), khususnya mereka yang mengambil kursus Comparative Public Administration (GMGAK3063) dan Social Impact Assessment (GMJCK3363).
Alumni program BPM UUM, Mejar Bersekutu (PA) Ahmad Shukri Adnan berkongsi wawasan berharga tentang persiapan karier dan pengembangan kemahiran kepimpinan di masa kini.
Menariknya, beliau juga mengenang pengalaman beliau sebagai anak didik Zalinah Ahmad yang telah banyak membantu membentuk personalitinya semasa di UUM.
Beliau kini merupakan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Latihan Eksekutif, Akademi Kenegaraan Malaysia di Pejabat Perdana Menteri.
Sesi ini turut menampilkan perbincangan mengenai kepentingan membangunkan CV yang menarik dan teknik mengenal pasti ciri-ciri otak kiri dan kanan, serta jenis-jenis pembelajar yang berbeza.
Peserta, Nurul Husna Yusra Mohd Rusudi berkata, sesi ini memberikan wawasan dan alat yang diperlukan untuk beradaptasi dalam dunia kerja yang kompetitif.
Program anjuran Jawatankuasa Seminar dan Latihan Pusat Pengajian Kerajaan 2024 telah menjadi platform yang bernilai bagi mahasiswa untuk mendalami dan mempraktikkan teori pengurusan dan kepimpinan dalam konteks yang realistik dan terkini.
Berita dan gambar Dr. Zuliana Azwa Zulkifli